KOTA BHARU, 10 Dis (Bernama) -- Sistem e-Aduan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini menjadi antara pembaharuan terpenting dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam apabila memudahkan pengguna menyalurkan aduan harga barangan tanpa perlu hadir ke kaunter, sekali gus mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepatkan tindakan penguatkuasaan.
Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata sistem itu membolehkan pengguna menghantar gambar, resit serta maklumat lokasi melalui WhatsApp selain menerima maklumat melalui Kod QR Aduan Suri, TikTok dan Facebook bergantung kepada kesediaan pengguna.
“Jika minyak masak kawalan RM2.50 dijual RM3, pengguna hanya ambil gambar dan hantar WhatsApp. Aduan terus masuk sistem dan kami akan turun siasat tanpa pengguna perlu hadir ke pejabat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata pendekatan digital itu penting untuk negeri seperti Kelantan yang mempunyai 1.7 juta penduduk tetapi hanya 142 anggota penguat kuasa, selain lebih 4,000 kedai runcit dan lebih 100,000 premis perniagaan yang perlu dipantau.
“Kami tidak mampu turun ke semua kedai setiap hari. Aduan pengguna menjadi indikator awal yang membantu kami memberi fokus,” katanya.
Azman berkata KPDN menetapkan tindakan awal diambil dalam tempoh empat hingga lima jam pada waktu bertugas manakala setiap aduan diselesaikan dalam 48 jam, bergantung kepada kerjasama pengadu dan jenis kes.
“Jika maklumat lengkap, tindakan boleh dibuat serta-merta. Jika aduan tidak lengkap, siasatan akan terhad. Antara aduan paling banyak diterima ialah jualan harga melebihi kawalan, tiada tanda harga, penipuan harga makanan dan isu barangan asas seperti ayam dan minyak masak,” katanya.
Beliau berkata KPDN turut menerima aduan berkaitan pembelian bersyarat, iaitu pemborong yang mewajibkan peruncit membeli barangan lain sebelum boleh mendapatkan barang kawalan.
“Amalan ini salah tetapi peruncit jarang buat aduan rasmi kerana bimbang hilang bekalan. Dalam kes sebegini, kami turun menyamar untuk dapatkan bukti,” katanya.
Beliau berkata sistem e-Aduan memberi impak besar dalam mempercepatkan penyelesaian kes termasuk melalui bukti resit digital seperti SARA.
“Ada kes pengguna hantar resit menunjukkan perbezaan RM15. Pegawai turun serta-merta, peniaga mengaku dan kompaun RM500 dikeluarkan di lokasi,” katanya.
Azman bagaimanapun berkata cabaran utama ialah aduan dari kawasan pedalaman yang berdepan masalah liputan Internet dan penggunaan telefon asas.
“Di pedalaman, WhatsApp sukar digunakan. Jadi, kami longgarkan syarat, terima aduan manual dan teruskan siasatan.
“Aduan melalui TikTok juga diterima tetapi kebanyakannya tidak dapat disiasat kerana tiada nombor telefon dan lokasi tidak jelas,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa e-Aduan bukan penentu awal kesalahan tetapi mekanisme untuk meningkatkan ketelusan serta mendidik peniaga agar lebih berdisiplin.
“Aduan ini cermin kepada kami dan peniaga. Ia membantu memastikan hak pengguna dilindungi. KPDN Kelantan menerima 838 aduan bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini, dengan tindakan bergantung kepada kesalahan termasuk kompaun di lokasi setelah siasatan disahkan,” katanya.
Sementara itu, suri rumah Siti Farhana, 34, berkata e-Aduan KPDN memudahkan urusan aduan harga barangan kerana kini beliau hanya perlu menghantar gambar dan maklumat melalui WhatsApp tanpa perlu hadir ke pejabat.
Turut senada, pemandu lori Mohd Firdaus Ismail, 41, berkata e-Aduan membantu mewujudkan persaingan yang lebih adil apabila penguat kuasa dapat bertindak lebih cepat terhadap peniaga yang melanggar peraturan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial