Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pesanan PM Anwar Suntik Semangat Perancangan Lebih Rapi Untuk Tahun Hadapan - Fahmi

08/12/2025 11:47 AM

PUTRAJAYA, 8 Dis (Bernama) -- Pesanan dan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar setiap kementerian memperkukuh perancangan serta memastikan pelaksanaan projek lebih tersusun disifatkan sebagai dorongan positif dalam meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata peringatan itu ditujukan kepada semua kementerian, menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha dan pasukan pentadbiran bagi memastikan setiap projek yang dilaksanakan kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

"Perdana Menteri mengingatkan bahawa apabila kita (kementerian) merancang untuk tahun hadapan, perancangan itu perlu dibuat dengan lebih rapi. Kebanyakan kementerian pada Januari dan Februari akan mula mengadakan pemukiman, jadi peringatan ini memang tepat pada masanya," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas sesi perjumpaan Perdana Menteri bersama warga kementerian bersempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR), yang turut disiarkan secara langsung di Kementerian Komunikasi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.

Fahmi berkata semangat yang digariskan Perdana Menteri itu mencerminkan tekad kerajaan untuk memastikan setiap perbelanjaan awam serta pelaksanaan projek mematuhi jadual dan kos ditetapkan.

"Apabila sesuatu projek hendak dilaksanakan, kita perlu memikirkan kesan serta penyelesaian yang dibawa kepada penduduk setempat, kampung dan masyarakat. Sama ada ia melibatkan jambatan, internet, perkhidmatan atau perpaduan, semuanya mesti memberi kesan positif kepada rakyat.

“Kita juga perlu melihat selain daripada pencapaian indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan; apabila kita memaknai kerja kita, kita akan bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh," katanya.

Dalam perhimpunan itu, Anwar mengingatkan bahawa kejayaan sebenar negara MADANI bukan hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi atau pembangunan infrastruktur moden, tetapi juga sejauh mana nilai kasih sayang, ihsan dan tanggungjawab diterapkan dalam setiap dasar serta tindakan kerajaan.

Menyentuh pelaksanaan projek kerajaan, Perdana Menteri berkata keutamaan harus diberikan kepada keberkesanan dan kepantasan dalam memenuhi keperluan rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan