PETALING JAYA, 5 Dis (Bernama) -- Sebuah buku baharu yang menampilkan tadabur al-Quran untuk bacaan harian, 365 Quran-Two Minute Daily Reflections oleh Mahani Zubedy dilancarkan hari ini.
Terbitan Zubedy Sdn Bhd, buku berkenaan memuatkan 365 ringkasan untuk pembacaan yang mengambil masa beberapa minit untuk dibaca, mengandungi ayat-ayat al-Quran terpilih diikuti dengan refleksi praktikal yang mudah.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu, Mahani berkata idea untuk menulis buku itu tercetus daripada ayat-ayat al-Quran itu sendiri, dan ia bukanlah tafsiran atau ulasan ilmiah.
“Setiap kali saya membaca sesuatu ayat, saya berasa kagum. Ayat-ayat itu membuatkan saya berfikir dan mencetuskan inspirasi. Saya menghayatinya, meneliti konteks sejarahnya, tetapi penulisan ini sebenarnya mengenai bagaimana ayat itu menyentuh hati saya. Ia adalah refleksi peribadi,” katanya.
Pelancaran buku itu disempurnakan oleh Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz, di sini hari ini.
Sementara itu, Tunku Zain Al-Abidin berkata format buku ini menyediakan kaedah mudah untuk membantu individu yang sibuk untuk memperkukuh ketakwaan mereka dan membolehkan pembaca menelusuri kandungan tanpa gangguan media sosial.
Ayat-ayat yang terkandung dalam buku itu menyuntik inspirasi, menenangkan, serta mengingatkan pembaca mengenai tujuan hidup, dan penerbitan bahan ilmiah ini akan memberikan manfaat kepada umat Islam dan bukan Islam.
Buku itu boleh didapati di semua kedai buku MPH seluruh negara pada harga RM65.70, dan bersempena dengan pelancarannya ia boleh didapati pada harga promosi RM50.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial