Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Projek Rintis Zon Aliran Bebas Wang Kelian Ditangguh Susulan Tanah Runtuh

03/12/2025 07:37 PM

KANGAR, 3 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan Projek Rintis Zon Aliran Bebas Wang Kelian, yang sepatutnya bermula pada 12 Dis ini hingga 31 Mac tahun depan, ditangguhkan susulan kejadian tanah runtuh di sebelas lokasi sepanjang laluan utama yang menghubungkan Wang Kelian ke Wang Prachan, Thailand ketika banjir melanda negeri itu minggu lepas.

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata cadangan penangguhan projek rintis itu melalui Mesyuarat Penyelarasan Cadangan Pelaksanaan Projek Rintis Zon Aliran Bebas Wang Kelian bersama jabatan teknikal serta agensi penguatkuasaan berkaitan yang diadakan pada Isnin lepas.

Sehubungan itu, beliau berkata mengambil kira aspek keselamatan jalan dan orang awam, kerajaan negeri menyokong penuh cadangan penangguhan projek rintis itu sehingga ke satu tarikh baharu yang akan ditetapkan setelah laluan itu disahkan selamat untuk dibuka kepada orang awam.

“Berdasarkan penilaian teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perlis, keadaan semasa di lokasi berkenaan adalah tidak selamat dan pihak JKR menasihatkan supaya laluan berkenaan ditutup sementara kecuali kepada kenderaan ringan sahaja.

“Pada masa ini, kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan dan dijangka mengambil masa antara enam bulan sehingga 12 bulan untuk disiapkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata Ketua Pengarah Imigresen mengeluarkan arahan penutupan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian pada 23 Nov lepas sehingga laluan berkenaan disahkan selamat.

“Justeru, sebarang pergerakan ke Thailand menerusi Perlis adalah dinasihatkan untuk menggunakan pintu sempadan di Kompleks ICQS Padang Besar,” katanya.

Selain itu, beliau berkata bagi memastikan penduduk Kampung Wang Kelian yang berhadapan risiko terputus bekalan asas untuk mendapatkan bekalan, kerajaan negeri akan mencadangkan satu ‘laluan aliran bebas khas’ diwujudkan antara penduduk kampung itu dan Wang Prachan.

“Bagaimanapun, cadangan ini masih di peringkat perbincangan awal dan akan diperhalusi oleh pihak berkuasa yang berkaitan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini laluan ke sempadan Thailand melalui Jalan Wang Kelian hanya dibuka kepada kenderaan ringan tidak melebihi tiga tan dengan pergerakan itu dipantau ketat oleh pihak berkuasa termasuk polis bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan