Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja Perkukuh Rangka Kerja Perlindungan Sosial - FMM

03/12/2025 03:29 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Pindaan terhadap Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh rangka kerja perlindungan sosial negara.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Tan Sri Soh Thian Lai berkata pengenalan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) yang menyediakan perlindungan 24 jam kepada lebih 9.6 juta pekerja termasuk pekerja asing, menandakan satu reformasi besar dalam menangani jurang yang telah lama wujud berkaitan kemalangan di luar waktu kerja.

“Reformasi itu perlu dilaksanakan secara telus dan dengan panduan operasi yang jelas untuk majikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 antara lain bertujuan memperkenalkan Skim Lindung 24/7 iaitu perlindungan menyeluruh kepada pekerja sepanjang masa termasuk di luar waktu bekerja.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata pelaksanaan skim berkenaan bakal memberi manfaat kepada hampir 10 juta pekerja formal di seluruh negara.

Dewan Rakyat turut meluluskan RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 yang antara lain bertujuan meningkatkan faedah kepada pencarum PERKESO kehilangan pekerjaan serta memperkukuh tadbir urus pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Soh berkata pihaknya menyokong penambahbaikan yang lebih menyeluruh di bawah pindaan itu, di samping menegaskan sebarang peningkatan manfaat perlu disertai dengan pengurusan kewangan yang berhemat, semakan penggunaan secara berkala dan penglibatan berterusan pihak majikan bagi memastikan kemampanan dana dalam jangka panjang.

Beliau berkata FMM turut menyambut baik penambahbaikan manfaat EIS, termasuk kenaikan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), peningkatan had yuran latihan, penambahbaikan elaun latihan serta peningkatan Elaun Bantuan Mobiliti, sambil menyatakan bahawa langkah berkenaan mengukuhkan Dasar Pasaran Pekerja Aktif (ALMP) Malaysia.

Soh berkata pindaan berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan perlindungan pekerja dan mengukuhkan daya tahan pasaran buruh, di samping menegaskan pelaksanaan yang telus serta tadbir urus yang kukuh akan membantu membina tenaga kerja yang lebih yakin dan produktif.

Sementara itu, Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-Malaysia Labour Centre (UNI-MLC) Datuk Mohamed Shafie BP Mammal turut menyatakan sokongan penuh terhadap pindaan Akta 4 dan Akta 800, menyifatkannya sebagai fasa baharu dalam usaha Kerajaan MADANI memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara.

“Reformasi ini adalah langkah tepat untuk memastikan pekerja yang hilang pekerjaan menerima bantuan dan latihan yang lebih mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil merakamkan penghargaan kepada Sim atas komitmennya membawa pindaan Akta 800.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan