Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

RUU Antibuli Perlu Beri Definisi Lebih Jelas, Perlindungan Kukuh Kepada Mangsa - Lee

02/12/2025 06:41 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 perlu menawarkan rangka kerja perundangan lebih jelas dan komprehensif untuk memastikan penguatkuasaan yang konsisten serta perlindungan lebih kukuh kepada mangsa, kata Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata pembentangan RUU itu di Dewan Rakyat semalam sememangnya ditunggu sejak sekian lama ke arah mewujudkan sekolah, tempat kerja, institusi dan ruang awam yang lebih selamat, sekali gus menjadi pengiktirafan penting terhadap isu buli sebagai masalah masyarakat yang serius.

“Perbuatan membuli, sama ada secara fizikal, lisan, psikologi atau dalam talian telah menyebabkan kemudaratan besar kepada kanak-kanak, remaja, orang dewasa malah pekerja yang terdedah kepada risiko. Sudah tiba masanya Malaysia memperkenalkan satu rangka kerja untuk menangani masalah yang semakin meningkat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata definisi yang lebih jelas bagi kategori buli, termasuk fizikal, emosi, buli siber, buli berkumpulan dan penyalahgunaan kuasa, akan membantu pihak penguat kuasa, sekolah serta majikan menegakkan undang-undang secara konsisten.

Beliau berkata sokongan kepada mangsa mesti diperkukuh melalui akses kepada kaunseling, saluran pelaporan yang selamat serta perlindungan daripada tindakan balas, sambil menegaskan bahawa ramai mangsa terus berdiam diri kerana ketakutan.

Lee berkata pelaporan mandatori dan langkah akauntabiliti juga perlu diwajibkan di sekolah, institusi pengajian tinggi dan tempat kerja bagi memastikan setiap kes didokumentasikan, disiasat dan ditangani dengan betul, sekali gus mencegah sebarang cubaan untuk mengabaikan atau menyembunyikan insiden.

Beliau berkata bagi tujuan pemulihan, program untuk pesalah khususnya yang masih di bawah umur harus dimasukkan bagi mengelakkan mereka daripada melakukan jenayah keganasan atau kesalahan lain secara berulang.

Menurut beliau, memandangkan insiden buli semakin banyak berlaku dalam talian, kerjasama yang lebih kukuh dengan platform media sosial diperlukan dan kandungan berbahaya diturunkan lebih cepat serta hukuman yang lebih berat bagi gangguan dalam talian yang serius. 

Lee berkata undang-undang sahaja tidak memadai, dan menyeru usaha kesedaran di seluruh negara, program sekolah serta latihan untuk membina budaya yang menolak keganasan, ugutan dan gangguan.

Beliau berkata RUU Antibuli 2025 merupakan langkah positif dan tegas, sambil menggesa ahli-ahli Parlimen meneliti undang-undang itu dengan sewajarnya dan memperkasakan lagi bagi melindungi semua rakyat Malaysia, khususnya kanak-kanak dan golongan muda.

RUU itu, yang merangkumi 54 fasal telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama semalam oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan