Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

1,333 Projek Perumahan Terbengkalai Berjaya Dipulihkan - KPKT

02/12/2025 03:03 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Sebanyak 1,333 projek perumahan swasta yang lewat, sakit dan terbengkalai melibatkan 159,638 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar RM126.47 bilion berjaya dipulihkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) setakat 31 Okt lepas.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata langkah itu diambil bagi melindungi pembeli daripada kerugian akibat kelewatan projek dan mengembalikan keyakinan terhadap sektor perumahan swasta.

“Bagi memastikan pemaju mengambil serius isu ini, KPKT mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan, kompaun dan menyenarai hitam pemaju yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta 118,” katanya pada sesi jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (Sri Gading) berhubung tindakan kerajaan menangani projek terbengkalai yang memberikan kesan kepada pembeli rumah pertama, dan faktor yang menyebabkan rakyat masih sukar memperoleh rumah mampu milik (RMM).

Aiman Athirah berkata pemaju yang disenaraihitamkan tidak dibenarkan memohon lesen pemajuan atau permit iklan dan jualan projek baharu, manakala senarai projek bermasalah turut dipaparkan melalui portal KPKT sebagai rujukan pembeli.

Beliau berkata Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118] kini dalam proses penambahbaikan untuk memastikan pengurusan kewangan pemaju lebih berdisiplin dan mengurangkan risiko projek terbengkalai pada masa hadapan.

Mengulas tentang RMM, Aiman Athirah berkata kesukaran rakyat mendapat pembiayaan perumahan berpunca daripada rekod kredit lemah, kadar hutang isi rumah tinggi serta pendapatan tidak stabil atau tiada slip gaji rasmi.

Bagi meningkatkan akses golongan B40 dan M40 kepada RMM, beliau berkata kerajaan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) menyediakan jaminan pembiayaan hingga RM500,000 untuk pembelian rumah pertama.

“Kerajaan juga melaksanakan skim sewa untuk beli (rent-to-own) di tujuh negeri, membolehkan 6,958 keluarga memiliki rumah. Selain itu, Home Ownership Campaign 2.0 dan pelepasan cukai hingga RM7,000 turut membantu meringankan beban pembeli rumah pertama,” katanya.

Beliau berkata keseluruhan inisiatif itu ialah sebahagian daripada strategi menyeluruh kerajaan bagi memastikan rumah mampu milik lebih mudah diakses, kos berpatutan dan selamat dimiliki.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan