Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PM Umum RM500 Juta Baiki Infrastruktur Awam Terjejas Banjir

02/12/2025 01:47 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 juta bagi membaiki kerosakan infrastruktur awam yang terjejas di kebanyakan negeri akibat banjir baru-baru ini.

Anwar berkata beliau telah mengarahkan semua jabatan di bawah kerajaan negeri dan Persekutuan supaya melakukan penilaian kerosakan serta melaksanakan kerja pembaikan dengan segera.

“Ini termasuk sekolah, klinik, kemudahan asas dan jalan... untuk segerakan, saya meluluskan RM500 juta untuk tujuan membaiki kerosakan akibat banjir,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.

RUU Perbekalan itu telah diluluskan semalam di Dewan Rakyat selepas dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 10 Okt lepas.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah meningkatkan kesiapsiagaan dan melaksanakan tindakan sewajarnya bersama pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri dalam mendepani bencana itu.

“Banjir tahun ini menyaksikan lebih 150 pusat pemindahan sementara tambahan diaktifkan baru-baru ini, (yang) membantu lebih 12,000 mangsa,” katanya.

Situasi banjir setakat 8 pagi tadi menunjukkan penurunan jumlah mangsa di tujuh negeri iaitu Selangor, Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah, Pahang dan Perlis.

Terdahulu, Perdana Menteri mengulangi bahawa kerajaan memperuntukkan RM470 bilion menerusi Belanjawan MADANI 2026 dengan tumpuan kepada memacu pertumbuhan ekonomi, mengukuhkan tadbir urus dan memastikan bantuan sampai terus kepada rakyat.

Beliau berkata Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan pembangunan melalui pelaksanaan projek air, sekolah daif, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan kemudahan digital di bawah projek Kabel Dasar Laut MADANI.

Dalam aspek keselamatan dan kesiapsiagaan bencana, Anwar berkata NADMA menerima RM460 juta manakala RM2.2 bilion diperuntuk bagi pelaksanaan 43 projek Rancangan Tebatan Banjir di seluruh negara.

Beliau juga berkata Kementerian Pendidikan menerima peruntukan terbesar berjumlah RM66.2 bilion diikuti Kementerian Kesihatan sebanyak RM46.5 bilion yang merangkumi pelantikan tetap 4,500 doktor kontrak pada tahun depan.

Belanjawan 2026 merupakan belanjawan keempat di bawah Kerajaan MADANI dan yang pertama dilaksanakan dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-13.

Bertemakan “Belanjawan Rakyat”, ia memperuntukkan RM470 bilion perbelanjaan awam merangkumi RM338.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Perbelanjaan itu turut disokong oleh pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (RM30 bilion), kerjasama awam-swasta (RM10 bilion) serta sumbangan badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (RM10.8 bilion).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan