Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MITRA Umum SJKT Ladang West Country Barat Sebagai Sekolah Angkat MADANI

02/12/2025 12:47 PM

 

PUTRAJAYA, 2 Dis (Bernama) -- Usaha meningkatkan akses pendidikan berkualiti untuk komuniti India mencapai satu langkah penting apabila Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang West Country Barat diumumkan sebagai Sekolah Angkat MADANI, diterajui oleh Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Pelancaran program yang berlangsung pada 1 Dis itu adalah sebahagian daripada aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membangunkan pendidikan yang inklusif, adil dan berasaskan keperluan masyarakat setempat.

MITRA menerusi hantaran di Facebook memaklumkan program sekolah angkat menghimpunkan kementerian pusat, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, universiti awam dan sektor swasta untuk memperkukuh sekolah Tamil di seluruh negara.

“Selaras dengan aspirasi Perdana Menteri untuk memastikan pendidikan yang adil, inklusif dan berpaksi keperluan komuniti, MITRA melalui inisiatif Sekolah Angkat MADANI telah memilih SJKT Ladang West Country Barat sebagai sekolah angkat rasmi.

“Pemilihan ini bertepatan dengan mandat MITRA untuk memperkukuh sekolah-sekolah Tamil sebagai pemacu mobiliti sosial masyarakat India,” menurut MITRA.

Sebagai langkah permulaan, Kementerian Kewangan memperuntukkan RM100,000 bagi pelaksanaan program pembangunan menyeluruh di sekolah yang terletak di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah Sepang berkenaan.

Peruntukan itu memberi tumpuan kepada skop pelaksanaan utama termasuk penambahbaikan infrastruktur dan fasiliti pembelajaran, pengukuhan literasi digital dan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Ia juga bagi pelaksanaan program peningkatan motivasi, sahsiah dan kesejahteraan murid serta intervensi akademik bersasar untuk meningkatkan prestasi pelajar.

Menurut MITRA, penguasaan teknologi dan digitalisasi adalah keperluan asas untuk memastikan murid tidak tercicir dalam persekitaran pembelajaran masa kini, justeru MITRA memberi penekanan khusus kepada sokongan digital sebagai komponen penting dalam peningkatan sekolah Tamil.

“MITRA percaya dengan kepimpinan Perdana Menteri, komitmen agensi pendidikan dan keprihatinan komuniti setempat, sekolah-sekolah Tamil mampu terus diperkasa sebagai institusi pendidikan yang cemerlang, progresif dan inklusif,” menurut MITRA.

Turut hadir pada program berkenaan Ketua Pengarah MITRA G. Prabagaran, Guru Besar sekolah G. Oveachselvi dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru S. Shaktiveloo.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan