Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ABIM Laksana Tindakan Proaktif Bantu Mangsa Banjir

28/11/2025 11:48 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melaksanakan tindakan proaktif dalam menghadapi situasi banjir yang semakin meruncing di beberapa negeri seluruh negara.  

Setiausaha Agungnya Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri berkata ABIM dengan kerjasama Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Adab Youth Garage (AYG) dan Rahmah Support Team (RST) melaksanakan penghantaran pek barangan asas, penyediaan makanan panas untuk mangsa di rumah dan pusat pemindahan sementara (PPS) serta operasi pembersihan pascabanjir.

Turut dilaksanakan pengagihan toto, selimut dan pakaian kepada keluarga terjejas selain bantuan pemindahan pesakit dari hospital dan rumah yang terkandas akibat banjir, khususnya di Perlis, Kedah, Kelantan dan Perak.

“Segala usaha ini digerakkan melalui mobilisasi sukarelawan, aset logistik dan kerjasama erat dengan komuniti setempat serta agensi berkaitan.

“Setakat ini, sebanyak 260 sukarelawan terlatih terlibat dan jumlah ini dijangka terus meningkat mengikut keperluan lapangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Fawwaz berkata bagi memastikan bantuan lebih sistematik dan mampu menjangkau lebih ramai mangsa, ABIM dan rangkaian agensi telah membuka tujuh Pusat Operasi dan Pengumpulan Sumbangan di seluruh negara, dan jumlah itu akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keadaan.

Ad Banner

Beliau berkata pusat itu, antaranya berperanan menyelaras bantuan barangan asas, pakaian dan kit kebersihan, mengatur gerak kerja sukarelawan pembersihan, menyediakan sokongan psikososial di PPS, serta mengurus logistik sumbangan dan penyertaan sukarelawan.

Selain itu, Ahmad Fawwaz berkata orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui www.infaqabim.com.

ABIM dan rangkaian agensinya kekal komited memastikan setiap bentuk bantuan dilaksanakan secara pantas, teratur dan berpaksikan keperluan mangsa di lapangan.

“Inilah masanya untuk memperlihatkan solidariti rakyat Malaysia dalam menghadapi ujian bersama. ABIM menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan, sektor korporat, institusi pengajian, pertubuhan masyarakat dan komuniti setempat untuk berganding bahu membantu mereka yang terkesan agar tiada yang tercicir dalam situasi genting ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan