Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PRN Sabah: GRS Dijangka Rangkul 26 Kerusi DUN Sabah, Muncul Blok Terbesar

28/11/2025 07:32 PM

KOTA KINABALU, 28 Nov (Bernama) -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka mampu merangkul sekurang-kurangnya 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, menjadikannya sebagai blok terbesar parti yang bertanding.

Berdasarkan penyelidikan bertajuk ‘Pola Pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17’ oleh Panel Penyelidikan ILHAM Centre, ramalan ini disandarkan kepada gabungan metodologi menerusi dapatan survei dan perbincangan kumpulan fokus (FGD) dalam kalangan semua segmentasi pengundi.

Ramalan itu turut dikukuhkan dengan siri temu bual mendalam dalam kalangan ahli akademik terutama daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan UiTM Sabah, disilang semak dengan data pilihan raya terdahulu dan analisis sentimen di ruang maya.

ILHAM Centre membahagikan kerusi kepada tiga kategori, iaitu kerusi yang jelas pemenang dengan segala faktor yang dinyatakan; kedua kerusi yang berlaku persaingan sengit tetapi lebih jelas memihak kepada calon dan parti tertentu; dan terakhir kerusi yang sangat sengit dan sukar dianalisis sehingga saat akhir.

Penyumbang terbesar kepada GRS ialah kerusi penyandang dominan seperti Sulaman, Karanaan, Kuala Penyu, Membakut dan seumpamanya.

Parti WARISAN pula dijangka selesa dengan enam kerusi kubu kuat mereka terutama di pantai timur, berpotensi menggandakan angka ini kepada 14 kerusi sekiranya ayunan undi berlaku di kerusi bandar dan kerusi sengit.

Ad Banner

Barisan Nasional (BN) dijangka memperoleh sembilan kerusi, manakala sekiranya berjaya menawan kerusi tambahan kategori DUN sengit itu ia kerusi bonus kepada BN.

Pakatan Harapan (PH) pula hanya mempunyai empat kerusi selesa setakat ini, manakala terdapat 13 kerusi sengit yang terbuka kepada semua calon untuk dimenangi.

Menurut kajian itu juga, antara 13 kerusi sengit itu, Perikatan Nasional (PN) hanya berpotensi di dua kerusi, iaitu Karambunai dan Sugut, dan sekiranya gagal mengutip sebarang kerusi, ia akan menjadi tamparan hebat kepada PN untuk melakukan pemulihan selepas PRN-17.

Situasi DUN tergantung masih boleh distabilkan oleh GRS dengan peluang menambah kerusi melalui kawasan sengit, kerjasama PH, serta rundingan bersama parti-parti lokal dan calon bebas.

Faktor yang tidak boleh dipandang rendah ialah peratusan keluar mengundi, kerana semakin rendah keluar mengundi, ia akan menguntungkan parti penyandang, dengan ILHAM Centre menjangkakan sebahagian besar pengundi luar tidak akan pulang mengundi.

Sementara itu, isu siapa bakal Ketua Menteri pasca-PRN kali ini turut menjadi bualan dalam kalangan pengundi kerana prestasi Ketua Menteri akan jadi faktor penentu kejayaan dan keberkesanan kerajaan negeri nanti.

Tinjauan dalam kalangan pengundi mendapati beberapa nama diletak harapan untuk menjadi Ketua Menteri selepas 29 Nov ini, dengan calon paling popular adalah Datuk Seri Hajiji Noor, diikuti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kedua-dua calon ini mendominasi sokongan, jauh meninggalkan nama lain.

Menurut kajian itu, antara faktor populariti Hajiji adalah kerana secara umumnya 63 peratus pengundi yang dikaji berpuas hati terhadap prestasi kerajaan negeri yang dipimpin oleh beliau, dalam masa sama 62 peratus turut berpuas hati terhadap prestasi beliau sebagai Ketua Menteri.

ILHAM Centre melaksanakan kajian lapangan bermula 15 hingga 27 Nov 2025 yang melibatkan dua metodologi utama, iaitu kuantitatif melalui kaji selidik tatap muka dan kualitatif menerusi FGD serta temu bual mendalam.

Sebanyak 1,500 responden telah ditemui di lapangan merangkumi semua segmentasi pengundi, dengan FGD melibatkan lima kumpulan (20 informan) dan temu bual mendalam (12 informan).

Proses pengumpulan data merangkumi enam wilayah, iaitu utara, tengah, pantai barat, pedalaman, pantai timur atas dan pantai timur bawah dengan kaedah persampelan rawak berstrata, dengan ralat kajian 2.5 peratus.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan