Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

SPRM Gesa Syarikat Korporat Promosi Budaya Integriti

27/11/2025 06:10 PM

PUTRAJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu sektor korporat di negara ini terus memperkukuh komitmen dalam mempromosikan budaya integriti dan tadbir urus baik dalam organisasi.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur Mohamad Zakkuan Talib berkata kegagalan memupuk integriti dalam organisasi bukan sahaja membuka ruang kepada salah guna kuasa, tetapi juga boleh merosakkan reputasi sesebuah syarikat.

“Sekarang ini, cabaran dalam dunia perniagaan bukan lagi kecil. Isu rasuah, pecah amanah dan ketirisan makin rumit. Sebab itu, pengurusan tertinggi perlu jadi contoh paling ke hadapan dalam soal integriti serta memastikan setiap keputusan dibuat secara telus dan bertanggungjawab,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena Forum ‘Leading With Integrity’ bersama Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) yang diadakan semalam bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai risiko rasuah dalam sektor korporat, selain mengukuhkan amalan pencegahan rasuah melalui pendekatan kepimpinan berintegriti. 

Forum itu menampilkan tiga barisan panel berkaliber terdiri daripada Mohamad Zakkuan, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Ahmad Ramdzan Daud dan Timbalan Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO) Nurirdzuana Ismail.

Ketiga-tiga panel berkongsi pandangan mengenai peranan pegawai integriti dalam memperkukuh sistem tadbir urus serta membina ketahanan organisasi terhadap risiko rasuah.

Ad Banner

Mereka turut berkongsi pandangan serta strategi pencegahan rasuah melibatkan organisasi besar yang menjadi kunci ampuh dalam mencorakkan landskap sektor korporat di negara ini agar lebih berdaya saing serta berintegriti. 

Ahli panel juga sependapat penekanan kepada elemen integriti merupakan asas utama kepada kelestarian syarikat, pembinaan reputasi perniagaan serta menambah keyakinan kepada pihak berkepentingan, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan