PUTRAJAYA, 26 Nov (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menggalakkan jabatan agama Islam negeri-negeri melaksanakan Ithbat Kelas al-Quran dan Fardu Ain PraTahfiz (IKP), susulan kejayaan program rintis di Melaka yang diumumkan hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata Melaka muncul negeri pertama melaksanakan IKP secara menyeluruh menerusi program perintis bermula 2020, selepas melalui penilaian tahap tiga, empat dan lima, sekali gus membuktikan kesiapsiagaan negeri itu melaksanakan penilaian tahap enam.
Beliau berkata keputusan IKP 2025 kelolaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menunjukkan pencapaian memberangsangkan, dengan tujuh pelajar memperoleh keputusan cemerlang tertinggi (mumtaz mutamayyiz).
“IKP 2025 turut menyaksikan 17 pelajar memperoleh keputusan cemerlang tinggi (mumtaz ‘ali), 25 pelajar mendapat keputusan cemerlang (mumtaz), manakala 19 pelajar meraih keputusan kepujian (jayyid jiddan).
“Lapan pelajar lagi mencatat keputusan baik (jayyid) dan seorang mendapat keputusan memuaskan (maqbul),” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan IKP 2025 di sini hari ini.
Menurutnya, kejayaan itu membuktikan IKP mampu menggalakkan murid menghafaz al-Quran sejak peringkat awal, sekali gus melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam hafazan tetapi turut menghayati ajaran kitab suci itu dalam kehidupan seharian.
“Insya-Allah, tujuh pelajar yang mendapat keputusan tertinggi ini akan dibawa masuk ke sekolah terbaik. Dengan pencapaian cemerlang ini, saya yakin mereka akan terus berjaya dalam akademik dan berupaya menghafaz 30 juzuk al-Quran,” katanya.
Beliau menegaskan matlamat kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah membentuk generasi beradab, berbudi pekerti dan berakhlak, dan pelaksanaan IKP serta Ujian Penilaian al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) menjadi antara platform penting ke arah mencapai tujuan tersebut.
Mohd Na’im turut merakamkan penghargaan kepada JAKIM, JAIM dan para guru yang komited melahirkan pelajar cemerlang melalui program berkenaan.
Mengulas perkembangan pelaksanaan IKP, beliau berkata program yang bermula sejak 2020 itu menyaksikan Melaka menjadi negeri pertama menyahut seruan JAKIM, diikuti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Selangor.
Optimis dengan keputusan positif IKP 2025, beliau berkata pelaksanaan program tersebut memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk mendorong anak-anak menghafaz al-Quran tanpa perlu menunggu sehingga peringkat menengah.
Beliau berkata seperti program baharu lain, beberapa kelemahan IKP dikenal pasti dan JAKIM bersama jabatan agama Islam negeri akan melaksanakan penambahbaikan berterusan mulai tahun hadapan bagi memperkukuh pelaksanaan program itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial