Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Cabaran Media: Tidak Semua Yang Tular Itu Benar - Amirudin

24/11/2025 09:37 PM

SHAH ALAM, 24 Nov (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata tidak semua yang tular di Internet adalah benar, manakala yang benar belum tentu mendapat perhatian umum.

Beliau berkata keadaan berkenaan merupakan antara cabaran pengamal media konvensional hari ini untuk memastikan berita disiarkan benar-benar tepat dan tidak terperangkap dalam naratif yang tidak pasti.

“Kalau dahulu apa direkodkan di media, itulah yang akan menjadi perhatian dan dibicarakan. Tetapi kini cakap-cakap, hearsay ataupun berita kurang benar akan kerap menjadi rujukan dan juga pertimbangan banyak pihak.

“Justeru, saya percaya ini adalah cabaran besar bagaimana transformasi antara media konvensional, yang perlu menunggu waktu deadline dan juga waktu habis, dengan kitaran berita yang keluar dengan pantas,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR) di Wisma Dewan Undangan Negeri Selangor, di sini hari ini. Amirudin turut bersetuju menjadi Penaung WAJAR.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dan Pengerusi WAJAR Norrasyidah Arshad.

Ad Banner

Menurut Amirudin, maklumat yang tidak tepat akan mengakibatkan keseluruhan institusi pengamal media termasuk wartawan terperangkap dengan naratif pelbagai.

Susulan itu, beliau berpendirian bahawa 24 jam merupakan satu tempoh yang lewat untuk memberikan maklum balas atau respons berhubung isu tertentu khususnya yang berisiko mencetuskan pelbagai reaksi.

“Kita tidak boleh tunggu sampai 24 jam, tempoh itu sudah agak terlewat daripada melaporkan dan memberikan maklum balas segera terhadap sesuatu peristiwa dan tindakan yang berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata semua pengamal media khususnya ahli WAJAR perlu terus komited menegakkan integriti, ketepatan maklumat dan profesionalisme kerana ia merupakan satu amanah besar bagi menjaga kebenaran serta memperkukuh keyakinan rakyat.

“Di samping itu (kerajaan negeri perlu) mempunyai hubungan yang baik antara wartawan sesama kumpulan walaupun berbeza kumpulan media dan organisasi,” katanya.

WAJAR mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada Julai tahun ini dan setakat ini, jumlah ahli berdaftar telah mencapai hampir 80 orang, melibatkan wartawan dan jurugambar daripada pelbagai organisasi media yang berkhidmat di Selangor.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan