Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Pertingkat Bantuan Untuk Rakyat Terperangkap Banjir Di Selatan Thailand

24/11/2025 08:32 PM

BANGKOK, 24 Nov (Bernama) -- Ketika banjir terus melanda selatan Thailand sehingga menyebabkan ribuan rakyat Malaysia terperangkap di Hat Yai dan kawasan berhampiran, Malaysia meningkatkan bantuan kecemasan dengan penyelarasan bersama pihak berkuasa Thailand.

Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah berkata Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Konsulat Jeneral di Songkhla bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand bagi memastikan bantuan disalurkan kepada rakyat Malaysia yang kini berada di hotel masing-masing.

Beliau berkata laporan yang diterima setakat ini menunjukkan seramai 1,000 rakyat Malaysia masih terperangkap di Hat Yai, manakala 500 lagi terkandas di beberapa kawasan lain di wilayah selatan.

“Kami bersama pihak berkuasa Thailand sedang berusaha sedaya upaya bagi memastikan bantuan - termasuk makanan, ubat-ubatan dan keperluan lain - sampai kepada mangsa banjir,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau menggesa rakyat Malaysia agar tidak panik dan mengikuti perkembangan operasi menyelamat supaya mereka dapat dipindahkan ke kawasan lebih selamat oleh pihak berkuasa tempatan apabila diperlukan.

Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, berkata sehingga Ahad, kira-kira 2,500 rakyat Malaysia telah dipindahkan dari Hat Yai dengan bantuan pihak berkuasa tempatan.

Ad Banner

“Kami telah menghantar sekitar 500 daripada mereka ke Lapangan Terbang Hat Yai dan terminal bas, manakala selebihnya sama ada berlindung di pusat pemindahan sementara atau dalam perjalanan pulang ke Malaysia,” katanya.

Ahmad Fahmi berkata paras air di Hat Yai terus meningkat susulan hujan lebat sejak malam tadi, namun pihak berkuasa sedang melakukan yang terbaik untuk menyalurkan bantuan.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan melaporkan terdapat kira-kira 18 pusat pemindahan sementara beroperasi di Hat Yai dan Songkhla.

Sementara itu, media tempatan Thailand melaporkan bahawa Gabenor Songkhla Rattasat Chidchu telah mengisytiharkan wilayah itu sebagai zon bencana dan mengarahkan pemindahan segera semua penduduk.

Beliau mengarahkan unit tentera, agensi awam, pentadbiran tempatan dan yayasan penyelamat segera memasuki kawasan terjejas untuk menyalurkan bantuan, terutama kepada kumpulan rentan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan