Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tujuh Negeri Terjejas Banjir, Mangsa Di Kelantan Meningkat 8,248 Orang

24/11/2025 11:12 AM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di tujuh negeri setakat 8 pagi ini meningkat kepada 10,922 orang dengan Kelantan merekodkan angka paling banyak yang ditempatkan di 33 pusat pemindahan sementara (PPS).

Pulau Pinang, Perlis dan Perak turut mencatat pertambahan jumlah mangsa, manakala di Kedah dan Terengganu menurun, serta Selangor menjadi negeri terbaharu yang terjejas dengan banjir.

Di KELANTAN, mangsa banjir semakin meningkat kepada 8,248 orang daripada 3,022 keluarga pagi ini berbanding 7,830 orang malam tadi.

Menurut Infobencana JKM, sebanyak 33 PPS dibuka di empat jajahan terjejas, iaitu Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh.

Sementara itu, Infopublic Banjir memaklumkan Serdang di Gunong Barat Bachok, merekodkan bacaan hujan 33.5 milimeter dalam masa satu jam, setakat 6 pagi tadi.

Di PULAU PINANG, mangsa banjir juga bertambah kepada 242 orang daripada 57 keluarga dengan dua lagi PPS dibuka menjadikan keseluruhan empat PPS, menurut kemas kini melalui laman web lnfobencana JKM setakat 7.49 pagi.

Ad Banner

Dua PPS yang baru dibuka ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) yang menempatkan 50 mangsa dan SK Lahar Yooi di Seberang Perai Utara (SPU) yang belum lagi dihuni mangsa banjir.

Pusat Pemindahan Desa Puri merekodkan jumlah mangsa paling banyak, iaitu 107 orang daripada 48 keluarga sementara SK Pengkalan Jaya menjadi tempat perlindungan bagi 85 mangsa melibatkan 18 keluarga.

Daripada keseluruhan jumlah mangsa itu, 151 orang ialah dewasa, 84 kanak-kanak dan dua lagi bayi.

Di PERLIS, mangsa banjir melonjak kepada 811 orang daripada 243 keluarga pagi ini berbanding 114 orang daripada 35 keluarga pada sebelah malam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata kesemua mangsa banjir kini ditempatkan di enam PPS di Padang Besar, Kangar dan Arau.

"Sebanyak 653 mangsa banjir melibatkan kawasan Padang Besar kini berada di PPS Masjid Nurul Husna di Wang Kelian, SK Felcra Lubuk Sireh, Dewan Semai Bakti Felda Mata Ayer, dan SK Felda Mata Ayer, 104 mangsa dari kawasan Arau ditempatkan di SK Guar Nangka, manakala PPS di Kangar melibatkan Dewan Wawasan yang mempunyai 54 mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Di PERAK, empat daerah dilanda banjir dengan 900 orang daripada 290 keluarga berlindung di 16 PPS di Manjung, Perak Tengah, Larut, Matang dan Selama, serta Batang Padang.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, daerah Perak Tengah menempatkan jumlah mangsa paling banyak, iaitu 433 orang daripada 143 keluarga yang berlindung di empat PPS.

Daerah Manjung pula menempatkan 429 orang daripada 133 keluarga di enam PPS, manakala jumlah mangsa banjir di empat PPS lagi sedang dikemas kini.

PPS Dewan Serbaguna Kampung Klah Baru, Sungkai di daerah Batang Padang menjadi tempat perlindungan bagi tiga mangsa banjir daripada sebuah keluarga, dan PPS Sekolah Batu Hampar di daerah Larut, Matang dan Selama dihuni 36 orang daripada 10 keluarga.

Jabatan Pengairan dan Saliran Perak memaklumkan Sungai Bidor di Changkat Jong berada pada paras bahaya dengan 4.05 meter berbanding paras normal dua meter dan Sungai Slim juga berada pada paras bahaya dengan 27.16 meter berbanding paras normal 23.50 meter.

Di SELANGOR, sebanyak dua PPS dibuka di daerah Sabak Bernam bermula semalam bagi menempatkan 51 mangsa daripada 14 keluarga susulan kejadian banjir yang melanda kawasan di mukim Sungai Panjang dan Sekinchan. 

Menurut Infobencana JKM, kesemua mangsa ditempatkan di Dewan Sri Bernam dan Dewan Sri Sekinchan. 

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya kini sedang giat memantau situasi semasa melibatkan 16 kawasan di seluruh negeri itu. 

Kawasan berkenaan melibatkan Taman Berkat, Bagan Sungai Besar, Kampung Nelayan, Muara Sungai Haji Dorani di bawah pengawasan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar. 

Taman Saujana Aman, Pintu Air Ijok Jalan Abdul Aziz, Jalan Robinson dan Jalan Ehsan (BBP Bestari Jaya); Sri Muda, Kampung Baru Hicom, Jalan Kebun, Padang Jawa, Kampung Kebun Bunga (BBP Shah Alam) serta Seksyen 13 dan Taman Tun Dr Ismail Jaya (BBP Bukit Jelutong) turut dipantau. 

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir sedikit berkurang kepada 388 orang daripada 118 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 404 orang daripada 122 keluarga, malam tadi.

JPBN Kedah dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa dari daerah Kulim itu ditempatkan di tiga PPS, iaitu Masjid Al-Muhtadin Sungai Seluang, Surau Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Naga Lilit dan SK Permatang Tok Dik.

Laman web rasmi Public Infobanjir memaklumkan Sungai Laka di Kubang Pasu telah melebihi tahap bahaya, iaitu 23.07 meter (m), manakala tiga lagi sungai melebihi tahap amaran melibatkan Sungai Sari di Padang Terap (28.19 m), Sungai Melaka di Langkawi (3.36 m) dan Sungai Titi Kerbau di Pendang (3.9 m).

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir juga menurun kepada 282 orang daripada 91 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 359 orang daripada 106 keluarga pada 8 malam tadi.

Berdasarkan laman sesawang InfoBencana JKM, kesemua mangsa berlindung di sebuah PPS, iaitu SK Kuala Besut yang mula dibuka pagi semalam, manakala sebuah lagi PPS, SK Pulau Perhentian ditutup malam tadi selepas semua penduduk dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan