TUMPAT, 23 Nov (Bernama) -- Ibu berusia 69 tahun terpaksa meredah banjir sedalam setengah meter sambil memimpin tangan anak lelakinya yang menghidap masalah mental dan cacat kaki demi menyelamatkan diri, selepas rumah mereka dinaiki air sejak petang semalam.
Mek Kembang Ya berkata dia bersama anak lelakinya, Mohd Nazu Mohd Noor, 54, berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tumpat 2, kira-kira 9 malam semalam.
“Saya terpaksa memimpin tangan anak saya kerana dia tidak boleh berjalan sempurna akibat cacat kaki dan masalah mental. Saya segera berpindah kerana risau jika air terus naik, memandangkan hujan lebat tidak berhenti sejak petang Khamis lepas,” katanya kepada pemberita di PPS berkenaan hari ini.
Mek Kembang antara 392 mangsa yang berlindung di PPS berkenaan, selain tiga lagi PPS turut dibuka di daerah Tumpat, dengan jumlah keseluruhan mangsa kini 1,184 orang daripada 537 keluarga.
Dia yang bimbang situasi banjir memburuk seperti tahun lepas telah mengambil keputusan berpindah lebih awal dengan bantuan cucunya.
“Setiap tahun rumah kami dinaiki air, tetapi banjir tahun lepas sangat teruk hingga banyak bahagian rumah rosak. Kami hanya sempat menampal dengan kayu lapis sahaja,” katanya.
Mek Kembang menambah, dia sudah terbiasa menguruskan anaknya sepanjang berada di PPS kerana setiap tahun terpaksa berpindah.
“Biasanya saya tinggal di sini seminggu. Sepanjang berada di PPS, anak saya tidak pernah mengganggu orang, malah mangsa lain sudah mengenalinya,” katanya.
Seorang lagi mangsa Siti Zaharah Yosuff, 68, berkata dia bersama adik iparnya Zalina Junoh, 53, dan cucu berusia tujuh tahun, meredah kawasan bendang padi sebelum mendaftar di PPS pada kira-kira 7 malam semalam.
“Rumah saya di kawasan bendang padi, di Jalan Hilir Istana Bukit Tanah, dinaiki air setinggi 0.5 meter. Saya pindah kerana kawasan ini terpencil dan sukar mendapat bantuan.
"Saya juga risau haiwan berbisa seperti lintah dan ular masuk ke rumah, namun barangan rumah sudah diletakkan di tempat tinggi,” katanya.
Menurutnya, banjir tahun lepas memusnahkan rumahnya dengan paras air hingga satu meter.
“Trauma masih terasa kerana banyak barangan belum sempat dibaiki, tetapi sekali lagi saya terpaksa menghadapi banjir,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa kawasan sekitar Tumpat mendapati limpahan air sungai dan hujan berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa laluan utama di jajahan itu mula dinaiki air.
Antara kawasan terjejas termasuk Kampung Bendang Pak Yong, Kampung Baru Nelayan, Kampung Telaga Bata dan Jalan Tumpat-Pengkalan Kubor, dengan sebahagian jalan hanya boleh dilalui kenderaan besar.
Beberapa kenderaan ringan dilihat berpatah balik kerana bimbang enjin mati akibat paras air yang semakin meningkat.
Di kawasan penempatan pula, halaman rumah, kawasan sawah dan lorong kampung mula ditenggelami air sedalam 0.3 hingga 0.5 meter, memaksa penduduk memindahkan kereta ke kawasan lebih tinggi bagi mengelak kerosakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial