Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Eufloria, BUNGA 2026 Tarikan Baharu Genting Highlands Sempena TMM2026

20/11/2025 10:48 PM

GENTING HIGHLANDS, 20 Nov (Bernama) -- Konsep baharu pelancongan mesra alam dan pelancongan pendidikan dikenali Eufloria dan BUNGA 2026, merupakan tarikan baharu Resorts World Genting (RWG) sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Dijangka dibuka pada separuh pertama tahun depan, kedua-dua acara holtikultur itu bakal menjadi tarikan baharu ke lokasi tanah tinggi yang terkenal dengan taman tema, sekali gus menambah produk pelancongan untuk TMM2026.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing yang memuji inisiatif RWG itu berkata Eufloria dan BUNGA 2026 akan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat tempatan untuk menikmati tarikan berasaskan alam dan budaya.

Beliau berkata ia sangat sesuai ketika Malaysia giat meningkatkan produk pelancongan menjelang TMM2026.

“Ini merupakan satu inisiatif yang baik. Saya ingin merakamkan terima kasih kepada Resorts World Genting, yang sentiasa proaktif.

“Kita bagi peluang kepada rakyat tempatan dari seluruh negara merasai sendiri pengalaman ini tanpa perlu pergi jauh ke Singapura atau Taiwan untuk menikmati pesta bunga,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara RWG dan Tourism Malaysia.

Ad Banner

Eufloria merangkumi kawasan seluas 12.5 ekar, menggabungkan elemen holtikultur, seni dan penceritaan berasaskan pemuliharaan, menawarkan pengalaman pembelajaran alam yang mudah diakses untuk pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Tarikan utama Eufloria ialah kompleks rumah hijau seluas 3.7 ekar yang terbesar di Malaysia, menampilkan empat rumah kaca bertema dengan pengalaman botani unik, selain direka untuk menampung sehingga 8,000 pengunjung pada satu masa dengan lebih 1,000 spesies tumbuhan dipamerkan secara bergilir mengikut musim.

BUNGA 2026 pula merupakan festival bunga yang pertama RWG, akan menampilkan orkid melalui persembahan fesyen bunga, bengkel seni kraf, taman bertema serta pameran mesra alam.

Festival itu juga akan menjadi pemangkin menjelang Persidangan Orkid Asia Pasifik (APOC) 2028 anjuran RWG.

Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG Spencer Lee dalam ucapannya berkata MoU itu merupakan satu pencapaian penting bagi menyokong TMM2026, sekali gus mengukuhkan ekosistem pelancongan Malaysia serta menonjolkan tarikan yang dimiliki negara.

“Melalui inisiatif seperti Eufloria dan BUNGA 2026, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada pelancongan lestari serta pengalaman pembelajaran yang mudah diakses untuk semua.

“Kami teruja untuk menampilkan tawaran pelancongan mesra alam dan pelancongan pendidikan, memberikan pengalaman bermakna kepada pengunjung dari dekat dan jauh sambil meraikan warisan alam dan budaya Malaysia,” katanya.

Sementara itu, RWG memaklumkan pusat pembiakan dan ladang yang menyokong landskap serta pengeluaran makanan untuk resort berkenaan akan terus menjadi platform pembelajaran komuniti serta pendedahan kepada pertanian komersial.

Program sedia ada berasaskan alam semula jadi termasuk Genting Nature Adventures dan lawatan berpandukan penceritaan, akan melengkapkan tawaran pelancongan mesra alam dan pelancongan pendidikan yang diperluaskan.

“Menerusi MoU, RWG akan bekerjasama dengan Tourism Malaysia mempromosikan produk-produk ini sebagai komponen utama TMM2026 melalui penganjuran lawatan pengenalan, jadual perjalanan terancang dan aktiviti promosi,” menurut kenyataan itu.

Eufloria akan dibuka pada separuh pertama 2026, dari 10 pagi hingga 7 malam setiap hari manakala BUNGA 2026 dijadualkan berlangsung pada pertengahan 2026.

Maklumat lanjut mengenai program dan acara RWG, sila layari laman web rasmi rwgenting.com atau saluran media sosial rasmi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan