Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

34 Projek Tebatan Banjir Seluruh Selangor Siap Setakat Ini - Exco

17/11/2025 03:24 PM

SHAH ALAM, 17 Nov (Bernama) -- Sebanyak 34 projek tebatan banjir di beberapa daerah bernilai RM241.6 juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan Selangor telah disiapkan setakat ini, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan negeri menghadapi musim tengkujuh.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim, berkata selain itu, 39 projek tebatan banjir lagi bernilai RM383.35 juta menggunakan peruntukan negeri sedang berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.

Beliau berkata sebanyak 18 projek tebatan banjir di bawah Kerajaan Persekutuan juga sedang dilaksanakan dengan peruntukan RM3.462 bilion, melengkapkan usaha mitigasi banjir secara menyeluruh antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Selain itu, 127 kerja langkah segera (‘quick win’) bernilai RM27.94 juta telah diluluskan, sebahagiannya siap dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, melibatkan kerja pengorekan sungai dan kolam takungan.

“Selain itu, 50 kerja mitigasi banjir bernilai RM14.1 juta menggunakan peruntukan pembangunan negeri merangkumi pengukuhan dan penstabilan tebing sungai, penyelenggaraan sungai dan pantai, serta kerja penyelenggaraan rumah pam dan pintu air,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) mengenai projek yang dilaksanakan dari 2024 hingga 2025 bagi menangani kekurangan infrastruktur penyebab banjir.

Izham berkata pihaknya turut mengadakan mesyuarat khas bersama pemegang taruh sekitar September atau Oktober lepas untuk membincangkan persiapan menghadapi banjir musim tengkujuh.

“Kesiapsiagaan turut merangkumi peralatan dan komponen penting banjir bagi memastikan ia berfungsi dengan baik, termasuk infrastruktur hidromekanikal seperti pintu kawalan air dan rumah pam submersible. Pintu kawalan air terdapat di 353 lokasi, rumah pam submersible di 27 lokasi, rumah pam skru di 26 lokasi, selain 115 pam bergerak berkapasiti tinggi dan 34 pam bergerak separa kekal,” katanya.

Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor mengaktifkan Pasukan Operasi Pemantauan Cuaca semasa Monsun Timur Laut bagi memantau stesen telemetri hujan, aras air, siren, dan kamera litar tertutup (CCTV).

“Semua pihak boleh mengakses maklumat ini melalui laman web InfoBanjir JPS Negeri Selangor, dengan kos operasi tahunan dibiayai bersama antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan