SERDANG, 15 Nov (Bernama) -- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perpatih dari Gemas, Negeri Sembilan muncul juara Pertandingan Aquaculture Aspire 2025 dengan projek ternakan ikan tilapia berasaskan teknologi bioflok, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.
SMK Renek, Jerteh, Terengganu di tempat kedua (RM2,000), manakala SM Pendidikan Khas Vokasional Merbok, Kedah meraih tempat ketiga (RM1,000).
Majlis penyampaian hadiah itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Aminuddin Hassim pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Aquaculture Aspire 2025 yang berlangsung di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank Ahmad Ariff Abu Bakar.
Pertandingan anjuran Agrobank itu menghimpunkan 10 sekolah seluruh Semenanjung, melibatkan pelajar neurodiversiti daripada Program Vokasional Menengah Atas (PMVA) Akuakultur dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Majlis itu turut menyaksikan SMK Seri Perpatih memenangi Anugerah Khas Usahawan Tani, manakala Anugerah Khas Inovasi diberikan kepada SMK Meranti, Pasir Mas, Kelantan.
Pertandingan Aquaculture Aspire 2025 berasaskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dicetuskan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin bagi meningkatkan kemahiran vokasional, memupuk pemahaman kelestarian alam sekitar serta menggalakkan penglibatan pelajar dalam sektor perikanan.
Inisiatif itu turut menyokong matlamat pembangunan lestari termasuk keterjaminan makanan, pendidikan berkualiti, pemuliharaan sumber marin dan ekosistem daratan.
Agrobank menjalin kerjasama dengan Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Pendidikan Latihan dan Teknikal Vokasional dalam memilih 10 sekolah di Semenanjung serta pemasangan set teknologi bioflok di kawasan sekolah.
Program yang dilancarkan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 itu menekankan pembelajaran praktikal, termasuk penyelesaian masalah seperti kualiti air dan tumbesaran benih ikan, sekali gus mengintegrasikan teori dengan amalan sebenar dalam pengurusan akuakultur moden.
Pertandingan itu memberi ruang kepada pelajar meneroka penggunaan teknologi bioflok dan Internet Kebendaan (IoT), selain memupuk minat terhadap keusahawanan, keselamatan makanan dan aktiviti perikanan berasaskan inovasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial