MELAKA, 15 Nov (Bernama) -- Sebanyak 12,722 pengguna telah mendaftar Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) di telefon pintar apabila penggunaannya mula dilaksanakan di Melaka sejak Ogos hingga Okt lepas.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata berdasarkan rekod, sebanyak 1,608 pengguna memuat turun aplikasi eCOSS dan berjaya membeli minyak masak paket bersubsidi pada Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) bergerak di sekitar negeri itu.
“Pada September lepas pula, jumlah pengguna yang membuat turun aplikasi itu adalah 5,200, manakala 5,914 pada Oktober.
“Pembelian minyak masak bersubsidi di Melaka menggunakan aplikasi eCOSS mula dilaksanakan di PJRM sekitar negeri ini sebelum diperluaskan ke pasar raya, kedai runcit serta rangkaian peruncit jualan lain dengan jumlah pengguna memuat turun aplikasi itu dijangka meningkat setiap bulan,” katanya kepada pemberita di sebuah pasar raya di Cheng hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Ekspedisi Dua Roda PJRM dan Pelaksanaan Aplikasi Mobil eCOSS yang turut dihadiri Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Dr Mohd Hazimin Jamaludin.
Seah berkata aplikasi eCOSS digunakan secara menyeluruh di Melaka namun setakat ini, penggunaannya tidak diwajibkan atau dikuatkuasakan bagi membolehkan pengguna membeli minyak masak paket bersubsidi.
Beliau bagaimanapun berkata pengguna digalakkan berbuat demikian bagi memudahkan pembelian serta membantu mengekang ketirisan dan penyeludupan barangan kawalan berkenaan.
Menurut Seah, pengguna yang tidak memuat turun aplikasi itu dalam telefon pintar mereka atau tidak mempunyai kemudahan telefon pintar masih boleh membeli minyak masak secara pendaftaran manual melalui buku log yang disediakan oleh pihak pasar raya.
Dalam pada itu, Seah berkata maklum balas daripada peniaga atau pemain industri terhadap penggunaan aplikasi itu adalah positif dan rata-rata mereka menyambut baik usaha berkenaan yang dilihat membantu penjualan minyak masak paket bersubsidi secara lebih sistematik dan bekalan mencukupi serta memudahkan kawalan jualan di pasar raya mereka.
“Sebagai contoh, berdasarkan maklum balas peniaga di pasar raya di sini, jika sebelum penggunaan sistem eCOSS, 1,000 kotak minyak masak bersubsidi dijual sehari berbanding kira-kira 300 kotak sehari dengan pelaksanaan aplikasi itu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata sehingga kini, KPDN Melaka telah menganjurkan 1,114 kali PJRM di 28 Dewan Undangan Negeri secara berperingkat dengan tawaran subsidi sehingga 30 peratus bagi pelbagai barangan dapur dan keperluan harian rakyat.
Beliau berkata platform itu bertujuan membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup selain memudahkan mereka mendapatkan akses pembelian barangan keperluan termasuk barangan kawalan seperti minyak masak paket dengan mudah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial