Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Program Wanita Dinamik Catat Impak Positif Di Sarawak - Nancy Shukri

15/11/2025 02:41 PM

KAPIT, 15 Nov (Bernama) -- Program Wanita Dinamik yang diperkenalkan sejak pandemik COVID-19 berakhir terus memainkan peranan penting dalam memperkasa wanita dari segi ekonomi, khususnya golongan terkesan akibat kehilangan pekerjaan dan isu kekeluargaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata sejak dilancarkan pada 2023, program itu mencatat impak positif dengan nilai keseluruhan bantuan mencecah hampir RM4 juta di Sarawak.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara berkata program itu diwujudkan selepas pihak kementerian mendapati banyak wanita tidak dapat keluar bekerja kerana perlu menjaga anak atau ibu bapa, selain ada yang berdepan perceraian dan keganasan rumah tangga.

“Kami lihat banyak wanita tidak dapat bekerja kerana tanggungjawab menjaga keluarga. Jadi, kami bantu mereka berniaga dari rumah dengan menyediakan modal RM500 tanpa memerlukan lesen. 

“Ada yang membuat acar, menjahit, membuat biskut, terpulang kepada mereka. Yang penting, mereka ada modal untuk memulakan perniagaan,” katanya pada Program Advokasi Kasih Wanita @ Kapit, Wanita Dinamik & Toleransi Sifar Keganasan di Dewan Masyarakat Melayu, Kampung Muhibah di sini hari ini.

Pada program itu, 317 wanita dari Kapit menerima bantuan itu dengan jumlah keseluruhan RM158,500.

Beliau berkata semakin banyak wanita mampu meneruskan perniagaan dari rumah dan menjana pendapatan sendiri, sekali gus mengukuhkan kedudukan ekonomi komuniti setempat.

Pada masa sama, Nancy berkata program Wanita Dinamik turut digabungkan dengan inisiatif Kasih Wanita serta usaha kesedaran bertema Toleransi Sifar Keganasan terhadap wanita.

Mengulas mengenai kempen Eliminasi Keganasan Terhadap Wanita (EVAW) yang disambut pada 25 Nov setiap tahun, beliau berkata Malaysia turut menyertai usaha global itu termasuk dengan menerangi bangunan-bangunan ikonik dalam warna jingga.

“Tahun lepas kementeriannya bekerjasama dengan Putrajaya Holdings, JKR dan pelbagai agensi lain untuk menyalakan jambatan dan bangunan termasuk KL Tower dengan warna jingga. 

Tahun ini pula lebih banyak bangunan dan lokasi, termasuk di Sabah dan Sarawak akan mengambil bahagian.

Beliau menyeru semua pihak terutamanya wanita untuk memakai pakaian berwarna jingga pada tarikh itu kerana ia adalah simbol sokongan terhadap usaha menentang keganasan terhadap wanita dalam apa jua bentuk.

“Kami mahu masyarakat menunjukkan solidariti, sama ada memakai baju, topi, selendang atau apa sahaja warna jingga sebagai tanda kami tidak menyokong keganasan terhadap wanita,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian kepada kewujudan Perkhidmatan Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang menyediakan akses kepada kaunselor bagi membantu wanita yang mengalami tekanan atau keganasan domestik.

“Ini adalah usaha kami untuk memberi kesedaran dan sokongan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan