Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pulau Pinang Calonkan Kampung Melayu Lama Air Itam Sebagai Tapak Warisan

14/11/2025 11:23 AM

GEORGE TOWN, 14 Nov (Bernama) -- Pulau Pinang terus memelihara tapak-tapak warisan bersejarah dan kampung tradisional dengan mencalonkan Kampung Melayu Lama Air Itam di sini sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645). 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata pencalonan berkenaan kini dalam proses mendapatkan persetujuan daripada pemilik dan pihak berkuasa negeri sebelum tindakan selanjutnya diambil oleh Jabatan Warisan Negara bagi tujuan pewartaan rasmi.

“Kita membuat pencalonan Kampung Melayu Lama Air Itam kerana Makam Sheikh Omar Basheer di sana mempunyai nilai sejarah yang tinggi dan antara sumber penyebaran Islam di Pulau Pinang kerana Sheikh Omar ialah mufti pertama Pulau Pinang.

“Selain daripada peninggalan sejarah, sesuatu kawasan (diwarta sebagai tapak warisan) tersebut perlu dihuni maksudnya masih ada penduduk yang menjalankan aktiviti-aktiviti sosial, kesenian dan kemasyarakatan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Muhamad Kasim (PN-Telok Bahang) mengenai jumlah kawasan atau kampung-kampung yang telah diwartakan sebagai kampung warisan atau zon warisan di negeri ini.

Wong (PH-Paya Terubong) juga berkata langkah mencalonkan Kampung Melayu Lama Air Itam mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memelihara dan melindungi tapak-tapak warisan bersejarah serta kampung tradisional sebagai sebahagian daripada identiti budaya dan sejarah Pulau Pinang.

Difahamkan, Makam Sheikh Omar Basheer dibina selepas 1881 setelah meninggal dunia pada usia 70 tahun dan Allahyarham memainkan peranan besar dalam menyebarkan ajaran Islam serta membuka jalan kepada penubuhan Sekolah Al-Mas’ud yang bermula dari masjid.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan