Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Input TXA 2025 Akan Dikaji, Dorong Syarikat Tempatan Dan IKS - KSU MOT

13/11/2025 09:41 PM

PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Semua input dan hasil perbincangan yang diutarakan di Ekspo Pengangkutan Asia (TXA), akan dikaji semula bagi menilai potensi pelaksanaannya dalam dasar nasional, khususnya melibatkan pembangunan sektor pengangkutan negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT) Datuk Seri M. Jana Santhiran berkata TXA yang melabuhkan tirainya hari ini, berperanan sebagai platform mempertemukan pemain industri, penyelidik dan pembuat dasar bagi membincangkan pelbagai idea serta pendekatan baharu untuk memperkukuh ekosistem pengangkutan negara.

“Segala yang dibincangkan dalam sesi ini akan kita kaji semula. Sebagai contoh, ada beberapa cadangan yang dibawa oleh pensyarah universiti. Ada juga seorang pakar pengangkutan daripada England yang turut menyertai program ini dan telah memberikan beberapa idea yang perlu kita fikirkan semula.

“Dan saya rasa perkara ini penting untuk negara sebab kita berkongsi pengalaman yang telah mereka lalui. Kita menggunakan konsep bukan ambil selangkah demi selangkah, tapi kita mahu quantum leap. Kita nak, kalau 20 tahun pengalaman mereka itu, kalau boleh kita laksanakan dalam dua tahun, itu memberi manfaat yang sungguh baik kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama Bernama Radio di Bernama Mobile Studio di Sepang, hari ini.

Ditanya mengenai sokongan terhadap penyertaan syarikat tempatan dan industri kecil dan sederhana (IKS) dalam TXA, Jana Santhiran berkata dasar kerajaan kini menekankan sokongan terhadap syarikat tempatan, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, bagi memastikan hasil inovasi tempatan dapat diterjemahkan kepada produk yang bermanfaat untuk negara.

“Banyak syarikat kecil yang merupakan IKS turut menyertai pameran kami dan kami mengambil masa untuk berbincang dengan mereka supaya hasil ciptaan mereka dapat dijelmakan menjadi produk yang menyumbang kepada keselamatan jalan raya dan sektor udara,” katanya.

“Dari segi sektor udara, ada juga syarikat IKS yang kami cukup teruja dengan ciptaan mereka ini, saya rasa setanding negara-negara luar. Cuma mungkin disebabkan tidak ada pendedahan. Jadi melalui program sebegini, banyak syarikat-syarikat tempatan yang telah didedahkan, bukan sahaja kepada pemain industri tempatan tetapi kami juga pemain antarabangsa,” katanya.

Dianjurkan oleh MOT dan dikendalikan oleh Alpine Integrated Solution dengan kerjasama rakan industri utama, TXA 2025 yang berlangsung dari 11 hingga 13 Nov menghimpunkan lebih 100 syarikat dari Malaysia, Indonesia, China, Hong Kong, Jerman, Poland, Amerika Syarikat dan Singapura, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab mobiliti serantau yang semakin berkembang.

MOT sebelum ini memaklumkan ekspo berkenaan akan menonjolkan inovasi dalam mobiliti hijau seperti elektrifikasi, automasi pintar serta teknologi pengangkutan rendah karbon, yang mencerminkan komitmen Malaysia terhadap sistem pengangkutan mampan dan rendah pelepasan karbon.

Mengenai strategi MOT dalam membangunkan bakat dalam industri pengangkutan, beliau berkata penekanan besar terhadap peluang untuk anak-anak muda lebih terdedah kepada industri pengangkutan sememangya diberikan bagi memastikan generasi baharu dapat memainkan peranan penting dalam memacu sektor berkenaan.

Jana Santhiran berkata pelbagai peranan dimainkan oleh dua agensi utama iaitu Technology Depository Agency (TDA), agensi di bawah Kementerian Kewangan dan Perbadanan Pembangunan Kereta Api Malaysia (MRDC) di bawah MOT dengan setiap perolehan besar kerajaan turut ditumpukan kepada pembangunan insan dalam industri pengangkutan.

“Latihan diberikan, standardisasi diperkenalkan dan pelbagai pendedahan lain diberi supaya generasi muda tertarik kepada industri pengangkutan. Matlamatnya adalah untuk memastikan mereka dapat membawa Malaysia ke peringkat lebih baik daripada yang ada pada masa sekarang,” katanya.

TXA juga akan menjadi platform strategik bagi menarik pelaburan asing dan memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam sektor pengangkutan hijau serta digital dan TXA bakal diadakan setiap dua tahun sekali, bagi syarikat yang terlibat dalam pelbagai penyelesaian berkaitan pengangkutan untuk mempamerkan perkhidmatan masing-masing.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan