Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Urus Koperasi Kariah Masjid Dengan Baik, Penuh Integriti - Sultan Pahang

13/11/2025 04:20 PM

KUANTAN, 13 Nov (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan pengurusan semua koperasi kariah masjid di seluruh negara khususnya di Pahang dilakukan dengan baik, penuh integriti dan bertanggungjawab. 

Al-Sultan Abdullah bertitah pengurusan koperasi yang baik bukan sahaja dapat memperkasakan ekonomi masyarakat, malah menjadi landasan untuk menyatukan semangat kerjasama dalam kalangan rakyat.

“Ia dapat menyatukan peranan komuniti melalui program koperasi dan mengukuhkan semangat kerjasama selain dapat mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan serta sumbangan awam,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan 2025 yang bertemakan “Koperasi Memperkasa Ekonomi Ummah, Membina Ekonomi MADANI” di sini hari ini. 

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud. 

Pada titah perasmian itu, Sultan Pahang turut mencadangkan koperasi kariah masjid terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan seperti peruncitan, perkhidmatan dobi, penyediaan makanan, penjagaan diri, ibadah korban serta pakej umrah dan haji. 

Baginda turut menzahirkan harapan agar koperasi dari Pahang yang disenaraikan dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia bagi Tahun 2025 mencapai prestasi lebih baik dengan berada pada kedudukan 10 terbaik negara pada masa depan. 

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah menitahkan lebih 1,800 pegawai dan kakitangan masjid di seluruh Pahang membuat caruman dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk kebaikan mereka.

Pada majlis itu, baginda berkenan mengurniakan Anugerah Koperasi Kariah Masjid Terbaik 2025 kepada Koperasi Masjid Nurul Yaqin Kelana Jaya Bhd dan Anugerah Koperasi Kariah Masjid Harapan 2025 kepada Koperasi Kariah Masjid Nurussalam Gerik Bhd. 

Konvensyen itu menghimpunkan 200 koperasi kariah masjid dari seluruh negara dan bertujuan memperkukuh peranan koperasi sebagai ejen penggerak pembangunan ekonomi komuniti Islam setempat serta platform penyatuan ummah melalui aktiviti ekonomi berlandaskan prinsip syariah.

Konvensyen itu turut memberi ruang kepada perkongsian amalan terbaik, sesi dialog serta perbincangan strategik bagi merangka pelan tindakan yang lebih mampan dan berimpak tinggi kepada koperasi kariah masjid di seluruh negara. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan