Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Siasatan Kehilangan Amri Che Mat, Raymond Koh Secara Telus - Saifuddin Nasution

13/11/2025 01:53 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Siasatan semula terhadap kehilangan aktivis Amri Che Mat dan paderi Raymond Koh akan dijalankan secara telus serta bebas daripada sebarang campur tangan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan sepenuhnya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan tidak mempunyai sebarang niat untuk melindungi mana-mana pihak, sebaliknya beriltizam melaksanakan sepenuhnya arahan mahkamah supaya kes berkenaan disiasat semula.

“Kerajaan ini menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan komited untuk mencari kebenaran dan menegakkan keadilan. Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menubuhkan pasukan penyiasat walaupun siasatan sebelum ini tak pernah ditutup, tetapi kali ini akan diketuai oleh seorang pegawai polis berpangkat ACP.

“Mereka akan teliti semua kertas siasatan awal, laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), laporan pasukan petugas khas dan mendapat keterangan baharu. Kita mengajak mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk tampil bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang bertanyakan keputusan mahkamah berkaitan Amri dan Koh serta langkah seterusnya yang akan diambil kerajaan, khususnya menyentuh prosedur operasi standard (SOP) dan kewibawaan siasatan PDRM memandangkan badan itu mewarisi sejarah yang panjang dan rekod cemerlang sebagai agensi penguat kuasa terbesar negara.

Amri, pengasas Persatuan Perlis Hope, dilaporkan hilang pada 24 Nov 2016, manakala paderi Koh dilaporkan hilang pada 13 Feb 2017.

Pada 5 Nov lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi berjumlah RM3.3 juta berserta kos dan faedah kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin, serta lebih RM37 juta kepada isteri Koh, Susanna Liew, selepas mendapati polis gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap kehilangan kedua-dua individu berkenaan.

Sehubungan dengan itu, Saifuddin Nasution berkata polis telah diarahkan untuk mengemukakan laporan perkembangan siasatan kepada Peguam Negara setiap dua bulan seperti diperintah mahkamah.

Dalam keputusan sama, beliau berkata mahkamah turut memerintahkan kerajaan membayar penalti RM10,000 sehari sekiranya keberadaan Koh gagal dikemukakan kepada mahkamah.

Katanya, walaupun Peguam Negara telah memutuskan untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu, kerajaan kekal menghormati keputusan terbabit dan melaksanakan perintah siasatan semula.

“Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang kerajaan berpendapat ada asas untuk membuat rayuan termasuk perkara yang membabitkan komitmen kewangan. Hal ini bukan bermaksud kerajaan memandang rendah akan soal nyawa atau hak kebebasan, bahkan kerajaan tidak mengutamakan beban kewangan, sebaliknya berpegang kepada prinsip menegakkan keadilan sejagat,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim yang meminta jaminan agar siasatan semula itu benar-benar bebas daripada sebarang campur tangan, Saifuddin Nasution menegaskan keputusan kerajaan untuk tidak merayu permohonan isteri Amri bagi mendapatkan laporan pasukan petugas khas pada 2023 menjadi bukti kerajaan tidak melindungi sesiapa dalam kes itu.

“Kalaulah Kementerian Dalam Negeri ini nak melindungi, waktu itu kita boleh arah Peguam Negara supaya merayu, tetapi kita tidak buat begitu kerana kita rasa isteri Amri layak, berhak dan patut mendapat laporan itu. Hal ini menunjukkan komitmen kita terhadap keadilan,” katanya.

Beliau turut mendedahkan secara statistik bahawa bagi setiap 10 laporan orang hilang di negara ini, sembilan kes berjaya diselesaikan, manakala satu kes kekal tidak ditemukan, termasuk bagi kes Amri dan Koh yang kini menjadi asas kepada keputusan mahkamah.

Menjawab soalan tambahan Dr Abdul Ghani Ahmad (PN-Jerlun) sama ada kerajaan bersedia memperkenalkan suatu undang-undang khusus yang mentakrifkan kehilangan paksa sebagai satu kesalahan jenayah, Saifuddin Nasution berkata undang-undang sedia ada memadai untuk mengurus kes kehilangan orang termasuk kehilangan paksa tanpa perlu digubal undang-undang baharu.

Selain itu, beliau turut menjelaskan perbezaan kuantum pampasan antara keluarga Koh dengan Amri yang berpunca daripada asas tuntutan undang-undang yang berbeza dan bukannya disebabkan layanan tidak seimbang.

“Bagi Paderi Koh, keluarganya menggunakan asas tuntutan kehilangan paksa sebagaimana laporan Suhakam, manakala isteri Amri tidak menggunakan asas itu dalam memulakan tindakan, sebab itu kuantumnya berbeza,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan