Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MICHELIN Guide KL & Pulau Pinang 2026 Tonjolkan Kepelbagaian, Keunikan Dunia Kulinari Malaysia

13/11/2025 11:22 AM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- MICHELIN Guide Kuala Lumpur & Pulau Pinang 2026  mengumumkan senarai terkini yang merangkumi 151 restoran berprestij di kedua-dua bandar raya dan menonjolkan kepelbagaian serta kekayaan landskap kulinari Malaysia, daripada kesederhanaan warung tepi jalan sehingga restoran mewah.

Kini memasuki edisi keempat, panduan itu merangkumi 58 Bib Gourmand dan 84 MICHELIN Selected serta sembilan restoran bertaraf bintang MICHELIN, termasuk dua restoran baharu yang dinaik taraf ke One MICHELIN Star manakala satu-satunya restoran berstatus Two MICHELIN Star berjaya mengekalkan kedudukannya buat tahun ketiga berturut-turut.

Pengarah Antarabangsa MICHELIN Guide Gwendal Poullennec berkata pemilihan tahun ini mencerminkan identiti gastronomi negara yang semakin berkembang.

"Sebanyak 151 buah premis yang diiktiraf pada tahun ini menyerlahkan kemeriahan dan kepelbagaian sajian di Malaysia. Bersama-sama, ia mencipta cita rasa yang kaya dan penuh semangat, melakar kisah kulinari Malaysia moden, sebuah kisah yang berkeyakinan, kreatif dan berinovasi,” katanya.

Panduan itu menekankan peranan Kuala Lumpur dengan 77 premis dan Pulau Pinang, 74 premis, sebagai ibu kota kulinari yang berjaya mengimbangi warisan dan kemodenan. Ia menawarkan pelbagai pilihan daripada gerai char kuetiau dimasak menggunakan arang hingga menu yang menekankan rasa, sekali gus mencerminkan status Malaysia sebagai antara destinasi makanan paling meriah, pelbagai dan dinamik di Asia.

Sementara itu, Restoran Dewakan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju utama dalam persada sajian mewah Malaysia dengan mengekalkan Two MICHELIN Stars untuk tahun ketiga berturut-turut.

Dikendalikan di bawah pimpinan Cef Darren Teoh, restoran itu juga menyertai komuniti MICHELIN Green Star atas komitmennya terhadap kemampanan, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pengaruh terbesar dalam dunia kulinari Malaysia.

Dua restoran yang baru dinaik taraf kepada One MICHELIN Star, Akar dan Terra Dining, menjadikan jumlah keseluruhan restoran berbintang di Malaysia sebanyak sembilan, bersama-sama Beta, Chim by Chef Noom, DC. by Darren Chin, Molina, Au Jardin dan Auntie Gaik Lean’s Old School Eatery.

Restoran Akar di bawah teraju Cef Aidan Low menerima pengiktirafan atas olahan semula resipi Eropah dengan sentuhan Jepun Perancis dan Malaysia manakala Terra Dining, di bawah pimpinan Cef Yu Cheng Chong memikat para Inspektor atas kaedah mereka yang teliti dan mengutamakan bahan dalam sajian Malaysia kontemporari. 

Pengiktirafan Bib Gourmand tahun ini menampilkan 58 premis yang terkenal dengan hidangan hebat pada harga berpatutan.

Lima tempat makan baharu turut tersenarai iaitu, Gulainya dan Lama di Kuala Lumpur, manakala Awesome Char Koay Teow, Bee Hwa Cafe dan Sifu di Pulau Pinang.

Anugerah Khas MICHELIN Guide pada tahun ini menonjolkan individu yang membentuk masa depan dunia kulinari Malaysia. Cef Chin Hua Wong dari Restoran Shu menerima Anugerah Cef Muda MICHELIN Guide dengan hasil kerja beliau merupakan penghormatan kepada warisan Cina, sekali gus menyediakan platform untuk meneroka evolusi masakan diaspora.

Maverick Fung dari K, sebuah restoran Jepun bertaraf sajian mewah menerima Anugerah Perkhidmatan MICHELIN Guide bagi keperibadian beliau yang mesra, profesionalisme, dan kemahiran mencadangkan padanan wain yang tepat menjadi contoh kepada kehalusan seni perkhidmatan di bahagian hadapan restoran (front-of-house) yang jarang mendapat pujian.

Anugerah MICHELIN Guide Opening of the Year diberikan kepada restoran Bidou, bistro Perancis baharu Cef Darren Teoh, sebagai penghormatan kepada nouvelle cuisine klasik Perancis.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan