KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Seramai 7,378 usahawan di Kuala Lumpur dan Selangor telah menerima manfaat daripada pelbagai kemudahan disediakan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sepanjang 2024 hingga 2025.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata kemudahan dianggarkan melebihi RM180 juta itu, disalurkan dalam bentuk pembiayaan, geran pembangunan perniagaan dan latihan keusahawanan.
“Inilah yang membolehkan usahawan berskala kecil dan sederhana, berupaya memasarkan jenama serta produk ke luar negara menerusi program Gate to Global MARA.
“Ini juga bukti bahawa MARA bukan sekadar agensi pembiayaan, tetapi pemangkin sebenar kepada pembentukan ekosistem keusahawanan Bumiputera yang mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, malam ini.
Sebanyak 24 usahawan dari Kuala Lumpur dan Selangor dinobatkan sebagai penerima AURA Peringkat Negeri, bagi 12 kategori yang dipertandingkan.
Antara kategori yang menjadi tumpuan termasuk Anugerah Usahawan Inspirasi Wanita, Anugerah Jenama Terbaik dan Anugerah Tokoh Usahawan MARA, selain kategori baharu Anugerah Khas Usahawan Wakaf MARA MADANI.
Kategori utama iaitu Anugerah Tokoh Usahawan MARA Negeri Selangor dimenangi Zuraiman Baharum dari syarikat perkhidmatan automotif Maxipura Sdn Bhd, manakala Anugerah Tokoh Usahawan MARA Kuala Lumpur dimenangi Sharizan Saad daripada perkhidmatan Nats Catering Sdn Bhd.
AURA merupakan pengiktirafan tertinggi atas kecemerlangan prestasi di bawah ekosistem MARA, dianjurkan secara dwitahunan berselang seli dengan penganjuran di peringkat negeri dan peringkat kebangsaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial