Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kelantan Catat 1,102 Menara Telekomunikasi Dikawal Selia MCMC

11/11/2025 04:57 PM

KOTA BHARU, 11 Nov (Bernama) -- Kelantan kini merekodkan sebanyak 1,102 menara telekomunikasi berpermit di seluruh negeri yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata daripada jumlah itu, 990 menara dibina di atas tanah, manakala 112 menara terletak di atas bumbung bangunan.

Beliau berkata fi dan bayaran tahunan bagi sebuah menara adalah RM2,750 merangkumi bayaran permit menara atau struktur (RM2,000) serta lesen perniagaan (RM750).

“Lesen penggunaan tanah pertanian bagi tujuan pembinaan menara telekomunikasi pula dikenakan bayaran RM500 setahun, manakala fi penggunaan tanah bangunan bagi struktur menara adalah RM1,000 setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tuan Mohamad Nasriff Daud @ Daud Yatimee (PAS-Pengkalan Pasir) mengenai bilangan menara serta hasil kerajaan negeri yang diperoleh pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Beliau berkata hasil kerajaan negeri yang diperoleh daripada bayaran itu dianggarkan berjumlah RM3,030,500 setahun dan disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha menarik minat golongan muda untuk menceburi sektor pertanian sebagai satu daripada sumber pendapatan baharu dan berdaya maju.

Beliau berkata pihaknya giat menyalurkan maklumat berkaitan pelbagai bentuk bantuan dan insentif yang disediakan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan, termasuk geran permulaan bernilai antara RM30,000 hingga RM50,000 kepada pemohon yang layak.

“Jabatan berkaitan seperti pertanian, perikanan dan veterinar turut memainkan peranan aktif dengan menganjurkan kursus serta bengkel percuma kepada peserta dari semasa ke semasa.

“Setiap awal tahun, program kursus pertanian percuma turut dilaksanakan bagi menyebarkan maklumat dan gagasan pertanian moden kepada masyarakat khususnya belia. Peserta juga berpeluang memperoleh pendedahan tentang teknik, teknologi serta bantuan terkini dalam bidang pertanian,” katanya ketika menjawab soalan Mohd Rodzi Ja’afar (PAS-Gaal) mengenai perancangan kerajaan negeri untuk menarik minat golongan muda dalam sektor pertanian.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan