Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Terengganu Sedia 851 PPS Hadapi Monsun Timur Laut

11/11/2025 04:18 PM

KUALA TERENGGANU, 11 Nov (Bernama) -- Sebanyak 851 pusat pemindahan sementara (PPS) telah disiapkan sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu Datuk Hanafiah Mat berkata PPS berkenaan dijangka mampu menampung sekitar 214,392 mangsa banjir.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana) negeri berkata semua PPS sudah dilengkapi dengan keperluan dan akan diaktifkan sebaik mangsa banjir dipindahkan.

"Di Kuala Terengganu kita ada 30 buah PPS, Kuala Nerus (39), Marang (61), Dungun (107), Kemaman (99), Hulu Terengganu (162), Setiu (104) dan Besut (249).

"Jumlah keseluruhan peruntukan disediakan sebanyak RM4.1 juta iaitu RM2.8 juta dari kerajaan pusat dan RM1.3 juta oleh kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Selain itu, Hanafiah berkata sebagai persediaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu juga sudah melaksanakan kerja pembersihan serta penyelenggaraan sistem saliran sepanjang kira-kira 1,200 kilometer di seluruh negeri.

Menurut beliau, ia termasuk pembersihan sungai dan tali air bagi melancarkan aliran sekiranya berlaku hujan lebat, pembuangan kelodak, sampah dan tumbuhan liar.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Kolonel Pertahanan Awam (PA) Mohd Zul Khairi Shamsuddin ketika dihubungi Bernama berkata sebanyak 800 termasuk pegawai dan anggota sedia dikerah untuk kerja memindah dan menyelamat mangsa banjir.

"Kita juga sudah siap siaga dengan pelbagai aset termasuk 63 bot pelbagai jenis, 13 lori dan 300 helai jaket keselamatan.

"Semua aset berada dalam keadaan baik dan selesai diselenggara Oktober lepas," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan