Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jangan Abai Bayaran Duti Setem - LHDN

11/11/2025 12:38 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) menegaskan bahawa bayaran duti setem tidak seharusnya diabaikan ketika membuat sebarang perjanjian kerana kegagalan berbuat demikian boleh memberi implikasi serius dari sudut undang-undang dan kewangan.

Pengarah Bahagian Konsultasi Operasi dan Audit, Jabatan Operasi Setem dan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) LHDN Nor Habibah Hamidon berkata penyeteman amat penting kerana tanpa proses itu, dokumen mungkin tidak diterima dalam urusan transaksi rasmi.

“Apa yang perlu difahami ialah duti dikenakan ke atas surat cara itu sendiri, bukan atas transaksi yang berlaku. Surat cara merujuk kepada dokumen bertulis yang biasanya mempunyai implikasi undang-undang, komersial atau kewangan.

“Duti setem ini dikenakan berdasarkan Akta Setem 1949, dan pihak yang bertanggungjawab untuk membayar duti ini adalah mereka yang tersenarai di bawah Jadual 3 Akta Setem 1949. Oleh itu, untuk memastikan duti dikenakan dengan tepat, pembayar perlu mengetahui surat cara yang ingin distemkan,” katanya pada program Klinik Cukai terbitan Bernama Radio dengan tajuk ‘Duti Setem: Kenapa Dokumen Anda Perlu Distemkan?’, hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa LHDN memperkenalkan sistem dalam talian Stamp Assessment and Payment Systems (STAMPS) yang membolehkan taksiran duti setem dilakukan secara elektronik, menjadikan proses penyeteman lebih cepat dan teratur.

Pembayar duti atau wakil yang dilantik boleh mengakses sistem ini melalui laman web https://stamp.hasil.gov.my, katanya.

Nor Habibah berkata terdapat dua kaedah pembayaran duti setem iaitu Finance Process Exchange (FPX) dan Virtual Account (VA) atau Nombor Akaun Maya, masing-masing boleh dibuat menggunakan perbankan internet atau di kaunter bank.

“Kedua-dua kaedah bayaran ini boleh dibuat melalui Telegraphic Transfer (TT), Interbank Transfer Giro (IBG), Electronic Fund Transfer (EFT), atau Rentas,” katanya sambil menambah jika pembayar duti atau wakil dilantik merasakan taksiran yang dikeluarkan tidak tepat, mereka boleh membuat rayuan untuk semakan semula taksiran,” katanya.

Mengulas mengenai Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 Jan 2026, Nor Habibah berkata sistem itu membolehkan pembayar duti membuat taksiran dan pembayaran secara sendiri melalui portal MyTax.

“Mesti mempunyai Nombor Pengenalan Cukai (TIN), log masuk ke MyTax, muat naik surat cara yang ingin distemkan, lengkapkan borang permohonan STSDS, buat taksiran dan bayar dalam tempoh ditetapkan serta simpan rekod selama tujuh tahun.

“Sistem ini akan dilaksanakan secara berfasa berdasarkan jenis surat cara dan pembayar duti tak perlu tunggu Notis Taksiran. Bayaran boleh dibuat terus selepas taksiran,” katanya, sambil mengambil contoh negara seperti Singapura, Hong Kong, United Kingdom dan Australia yang terbukti berjaya dengan Sistem Taksir Sendiri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan