JOHOR BAHRU, 8 Nov (Bernama) -- Banjir yang melanda Kampung Pasir, Tampoi di sini semalam berpunca daripada kerosakan pintu air di Sungai Skudai ketika fenomena air pasang besar.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata kerosakan itu menyebabkan air sungai memasuki borrow-pit kampung sebelum melimpah ke kawasan kediaman.
“Kita menerima laporan flap gate (pintu air) gagal berfungsi ketika air pasang besar dan kerja-kerja baik pulih telah dilaksanakan serta-merta bagi mengurangkan risiko banjir,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini dan memaklumkan kira-kira 25 rumah terjejas dan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan setakat ini.
Mohamad Fazli berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor melakukan pemantauan berterusan paras air Sungai Skudai dan kerajaan negeri turut melaksanakan Projek Saliran Mesra Alam Fasa 1 di Kampung Pasir yang dijangka siap pada Jun 2026 sebagai penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan risiko banjir.
Sementara itu, Ketua Kampung Pasir Azmi Misni yang juga Pegawai Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pulai berkata kira-kira 100 buah rumah penduduk terjejas akibat banjir kali ini dengan laporan telah dibuat kepada JPS Johor yang mengambil tindakan sepatutnya hari ini.
Tinjauan Bernama di kampung itu mendapati air melimpah ke beberapa jalan utama termasuk Jalan Manggis dan Jalan Sukun dengan kebanyakan rumah dinaiki air sehingga paras paha.
Seorang penduduk, Junita Mazlan, 26, berkata banjir mula berlaku kira-kira 12 tengah hari semalam selepas air sungai melimpah sebelum surut pada petang tetapi kembali naik pada sebelah malam.
“Air naik dengan cepat semalam, sampai paras paha. Tengah hari ni air naik semula tetapi tak seteruk malam tadi. Nasib baik barang tak rosak,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Noraini Kasim, 38, berkata bilik tidur dan dapur rumahnya turut ditenggelami air menyebabkan beberapa barangan elektrik termasuk peti sejuk rosak kerana tidak sempat diselamatkan.
“Tahun lepas masa Ramadan banjir lagi teruk, syukur kali ini hujan pun tak lebat sangat," kata ibu kepada 10 anak itu.
Zamir Abdullah, 44, pula berkata kejadian banjir terbaharu ini amat meresahkan penduduk kerana masalah sama berulang hampir saban tahun sejak 1970-an meskipun telah dibina benteng dan pam.
“Kali ini saya sempat tolong alihkan barang di rumah emak. Banyak kali dah banjir, masalah dikatakan sama, pam air sering rosak,” katanya.
Sementara itu di Batu Pahat, fenomena air pasang besar yang melanda beberapa kawasan di sini termasuk di Taman Nira setiap tahun menyebabkan ramai penduduk seakan serik untuk membeli perabot dan peralatan elektrik baharu.
Seorang penduduk, Mohd Firdaus Din, 40, berkata sejak empat tahun kebelakangan ini, kejadian air pasang semakin teruk dengan kali ini rumahnya sekali lagi dinaiki air sehingga melepasi paras betis.
“Air pasang agak tinggi semalam dan hari ini pun naik juga walaupun tidak seteruk semalam. Rumah saya dipenuhi lumpur dan saya terpaksa menumpang di rumah kawan buat sementara.
“Jadi setiap kali air pasang besar, kami penduduk hanya mampu pasrah dan menunggu air surut sebelum membersihkan kediaman kerana ia sudah menjadi rutin tahunan,” katanya ketika ditemui Bernama, hari ini.
Muhammad Adib Nordin, 35, berkata fenomena air pasang besar semakin serius sejak empat tahun lepas apabila air mula memasuki kediamannya.
“Tahun lepas paling teruk, parasnya sampai lutut. Kami dah bina tembok di depan pintu tetapi air tetap masuk dan menyebabkan kerosakan pada kerusi, katil serta barangan dapur,” katanya.
Tinjauan Bernama pada 5 petang dan 8 malam mendapati air pasang telah surut sepenuhnya dengan sebahagian penduduk mula mengemas rumah, manakala yang lain menunggu keadaan benar-benar kering dengan fenomena itu difahamkan berlaku sekitar 11 pagi dan mula surut pada 2 petang.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial