PUTRAJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menubuhkan Kumpulan Wang Pembangunan Perkapalan Malaysia (MSDF), sebuah dana amanah berkanun yang diwujudkan di bawah Akta Perkapalan Pindaan 2017 (Akta A1551) sebagai mekanisme pembiayaan lestari bagi menyokong pertumbuhan dan pembangunan sektor perkapalan negara.
MOT dalam kenyataan memaklumkan penubuhan MSDF akan membolehkan pembangunan industri perkapalan tempatan, peningkatan teknologi dan kapasiti industri, serta pembangunan tenaga kerja maritim dilaksanakan secara lebih tersusun dan mampan tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan tahunan kerajaan.
"Inisiatif ini merupakan langkah dasar strategik kerajaan dalam memacu daya saing dan keupayaan sektor perkapalan negara melalui pembangunan industri domestik yang lebih berstruktur dan berorientasikan masa depan.
"Melalui MSDF, Malaysia dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada kapal asing, memperkukuh daya saing sektor perkapalan nasional serta membina ekosistem perkapalan yang mampan, berdaya tahan dan kompetitif bagi menyokong aspirasi negara sebagai hab maritim serantau," menurut kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena Mesyuarat Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Kebangsaan Bilangan 1 Tahun 2025 hari ini, yang antara lain telah menimbang tujuh kertas pertimbangan sasar daripada kerajaan dan industri yang diterjemahkan sebagai dasar kerajaan untuk dilaksanakan bagi 2026.
Akta A1551 bertujuan meminda Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan untuk memperluas peruntukan tertentu dalam ordinan itu ke negeri Sabah dan Sarawak serta bagi mengadakan peruntukan mengenai perkara yang berkaitan dengannya.
Sementara itu, MOT memaklumkan sektor maritim penting kepada pertumbuhan ekonomi negara dan berperanan merancakkan perdagangan dengan mengambil kira 96.4 peratus perdagangan Malaysia dikendalikan melalui dagangan laut.
Keberhasilan kecekapan ekosistem sektor maritim negara terbukti apabila prestasi perdagangan Malaysia pada 2024 mencatatkan nilai import dan eksport sebanyak RM2.88 trilion, dengan menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM136.88 bilion yang merupakan nilai tertinggi sejak 1998.
Menurut MOT, Malaysia sebagai negara anggota Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) sentiasa komited dalam melaksanakan langkah global ke arah pengurangan pelepasan karbon dalam sektor maritim.
"MOT dengan kerjasama Australia turut membangunkan kerangka dasar dan undang-undang melibatkan green bunkering dalam menggalakkan penggunaan bahan api alternatif rendah karbon, seperti gas asli cecair (LNG), biofuel dan methanol dalam usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau daripada kapal serta menyokong peralihan industri maritim ke arah tenaga bersih dan mampan," menurut kenyataan itu.
Selain itu, MOT memaklumkan akan terus memperkasakan sektor perkapalan negara dengan membantu syarikat perkapalan tempatan dan memperkasakan industri pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR) dengan memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan domestik dan antarabangsa.
"Sektor bunker negara juga akan dibangunkan dengan sasaran menjadikan Malaysia sebagai hub bunker di Asia Pasifik menjelang 2030, merombak dan memperkemas kerangka pentadbiran dan pengurusan regim pendaftaran kapal Malaysia dan memperkasakan institusi latihan kelautan dan maritim negara, serta reformasi pindaan undang-undang perkapalan dan maritim negara secara komprehensif,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial