Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Siasatan Menyeluruh Dijalankan Bagi Kenal Pasti Punca Lubang Benam Di Sg Ara

05/11/2025 01:02 PM

GEORGE TOWN, 5 Nov (Bernama) -- Kerja-kerja siasatan dan pemantauan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian sebuah lubang benam terbentuk di Jalan Dato Ismail Hashim, Sungai Ara, Bayan Lepas dekat sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata pihaknya juga sedang mengenal pasti tindakan susulan yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat, ekoran kejadian tersebut menyebabkan laluan berkenaan ditutup sementara.

“Sebagai langkah mitigasi awal, penghadang plastik telah dipasang dan penutupan sementara jalan masih berkuat kuasa dengan aliran trafik dialihkan ke Jalan Sungai Ara 1, Jalan Persiaran Relau dan Jalan Kedidi.

“Pihak utiliti iaitu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Indah Water Konsortium (IWK) telah berada di tapak kejadian, untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap sistem perpaipan di bawah seliaan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zairil berkata kerajaan negeri mengambil maklum bahawa penutupan itu memberi kesan kepada aliran trafik setempat dan memohon kesabaran serta kerjasama semua pengguna jalan raya di kawasan tersebut.

Zairil berkata ketika itu, semua agensi yang terlibat sedang berusaha gigih menyelesaikan isu tersebut dengan secepat mungkin, demi keselamatan orang awam.

Terdahulu, tular di media sosial menunjukkan sebuah lubang benam berhampiran persimpangan jalan, sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap risiko keselamatan di kawasan berkenaan.

Insiden itu menarik perhatian penduduk sekitar yang turut berkongsi gambar kejadian di media sosial, menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan struktur jalan di kawasan tersebut.

Lubang benam yang terbentuk di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ara itu, berukuran 5 meter (m) panjang dan 3.5m lebar serta berdiameter 1.9m.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan