Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Gempa Lemah Bukti Sejarah Aktiviti Gunung Berapi Purba Di Segamat - JMG

04/11/2025 06:14 PM

JOHOR BAHRU, 4 Nov (Bernama) -- Gempa bumi lemah berukuran 2.7 pada skala Richter yang direkodkan di Jementah, Segamat pada 7.55 malam semalam membuktikan sejarah aktiviti gunung berapi purba di kawasan Segamat, khususnya di sekitar Jementah dan Batu Badak, menurut Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

JMG menjelaskan kejadian itu berlaku dalam zon volkanik purba Tertier, iaitu kawasan yang dahulunya pernah mengalami aktiviti gunung berapi berjuta tahun lepas.

Berdasarkan data Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), pusat gempa terletak pada koordinat 2.5 darjah Utara dan 102.8 darjah Timur, kira-kira tiga kilometer di barat Segamat, dengan kedalaman kira-kira 10 kilometer.

“Hasil semakan menggunakan Peta Geologi Malaysia (MyGEMS - JMG) menunjukkan kawasan tersebut terdiri daripada aliran lava serta endapan batuan Tertier lewat yang mengandungi batu syal, batu pasir, konglomerat dan sedikit lapisan arang,” menurut JMG dalam kenyataan. 

Menurut JMG, ciri-ciri geologi berkenaan membuktikan Segamat, khususnya di sekitar Jementah dan Batu Badak pernah menjadi kawasan aktiviti gunung berapi purba yang kini dikenal pasti sebagai volkanik terubah suai.

JMG turut memaklumkan gempa semalam bukan yang pertama direkodkan di zon sama apabila sebelum ini, gempa berukuran 4.1 pernah dikesan berhampiran lokasi berkenaan, menandakan adanya pola aktiviti seismik mikro berulang di sepanjang jalur sesar tersebut.

“Kedua-dua kejadian ini berpusat di sekitar zon volkanik Tertier Segamat dan menunjukkan kemungkinan wujudnya pengaktifan semula tekanan tektonik pada batuan lama akibat penyesuaian semula kerak bumi,” menurut JMG. 

JMG memaklumkan gempa bumi lemah berkenaan dikategorikan sebagai gempa cetek setempat dan tidak menimbulkan ancaman besar kepada keselamatan awam atau struktur bangunan, walaupun gegarannya dapat dirasai di sekitar Segamat dan kawasan berhampiran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan