Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MIHAS@Shanghai Buka Peluang Baharu, Promosi Malaysia Sempena TMM 2026 - Konsul Jeneral

04/11/2025 03:59 PM

Daripada Mohd Hisham Abdul Rafar

SHANGHAI, 4 Nov (Bernama) -- Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Shanghai membuka peluang untuk Malaysia meneroka pasaran baharu selain turut menjadi platform penting dalam mempromosikan negara sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai Shahafeez Shaharis berkata selain optimis mampu mencapai sasaran jualan keseluruhan RM2.5 bilion, MIHAS@Shanghai akan menampilkan Pavilion Malaysia seluas 2,000 kaki persegi yang akan disertai oleh 250 syarikat Malaysia.

“Ia merangkumi beberapa sektor utama seperti makanan dan minuman, produk agrikultur, peralatan perubatan dan penjagaan kesihatan serta perkhidmatan perniagaan dan kewangan.

"Antara organisasi yang mengambil bahagian dalam MIHAS@Shanghai 2025 termasuklah agensi persekutuan seperti Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah termasuk agensinya MARA, SME Corp, Exim Bank, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Lembaga Lada Malaysia (MPB),” katanya kepada wartawan Malaysia di sini pada Selasa.

Beliau berkata pameran itu juga mendapat penyertaan daripada kerajaan negeri termasuk Perlis, Sarawak, Pulau Pinang, Selangor, Perak, Sabah, Melaka dan Pahang.

Shahafeez berkata MIHAS@Shanghai 2025 akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, pada Khamis (6 Nov). Beliau juga dijangka bertemu pemegang taruh utama dalam sektor halal China untuk memperkasa kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal global dan membuka peluang pasaran baharu di peringkat antarabangsa.

Ahmad Zahid, yang dijangka tiba di Shanghai awal pagi Rabu (5 Nov), hadir atas undangan kerajaan Republik Rakyat China untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-8 di National Exhibition and Convention Center (NECC).

Katanya Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) dan Pengerusi Majlis TVET Negara dijadual menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Shanghai Jiao Tong University (SJTU) serta hadir ke Majlis Perasmian Forum Kerjasama Industri-Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Antarabangsa Malaysia-China Ke-2 dan Pameran Pendidikan Vokasional Malaysia-China Ke-4, sekali gus akan menyampaikan ucaptama semasa majlis perasmian tersebut.

Shahafeez berkata selain itu, majlis tersebut juga akan menyaksikan pemeteraian beberapa kerjasama dalam bidang TVET antaranya penyerahan Surat Niat (LOI) bagi pelaksanaan Program Peningkatan Kemahiran dan Pekerjaan SIYUAN, Pelancaran Perikatan Industri-Pendidikan TVET Malaysia-China (MC-IEA) dan MoU mengenai penubuhan Program Latihan Satelit Malaysia-China. 

Ahmad Zahid juga dijadual merasmikan Pusat Informasi CIDB Holdings Sdn Bhd (CIDBH Information Center) serta Astaka Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).

China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar untuk 16 tahun berturut-turut sejak dari 2009. Nilai dagangan antara Malaysia dan China mencecah RM484.12 bilion pada 2024, menyumbang 16.8 peratus nilai perdagangan global Malaysia (RM2.879 trilion).

Dalam sektor halal, Malaysia mencatatkan eksport halal bernilai RM61.79 bilion pada 2024, mewakili peningkatan 15 peratus daripada tahun sebelumnya.

China merupakan destinasi eksport halal kedua terbesar bagi Malaysia dengan jumlah nilai eksport sebanyak  RM7.04 bilion pada 2024.

Menyentuh pasaran halal global, Shahafeez berkata ia kini bernilai US$3.5 trilion dan dijangka berkembang kepada US$5 trilion menjelang 2030.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan