Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Puspakom Tawar Pelbagai Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Pada Karnival Jom Heboh

03/11/2025 03:10 PM

GEORGE TOWN, 3 Nov (Bernama) -- Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) akan menawarkan pelbagai perkhidmatan pemeriksaan kenderaan pada Karnival Jom Heboh di Stadium Batu Kawan, dekat sini dari 7 hingga 9 Nov ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Mahmood Razak Bahman berkata perkhidmatan itu termasuk pemeriksaan sukarela yang dapat mengesan potensi masalah keselamatan kenderaan lebih awal dan pemeriksaan khas (MV15 dan B2) bagi kenderaan yang mempunyai cukai jalan luput lebih tiga tahun.

"Selain itu, pemeriksaan sewa beli untuk urusan pertukaran pemilikan kenderaan disediakan dan terdapat juga kaunter pembaharuan insurans di reruai Puspakom melalui kerjasama dengan rakan strategik bagi memudahkan pengunjung memperbaharu insurans mereka.

"Di kawasan Perkhidmatan Trak Bergerak pula, pengunjung boleh menyaksikan demonstrasi pemeriksaan sebenar oleh pemeriksa kenderaan bertauliah dan demonstrasi MyPUSPAKOM dengan orang ramai dapat belajar cara membuat tempahan pemeriksaan serta menjejak status secara dalam talian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penyertaan kali ini bertujuan memperkukuh hubungan dengan orang ramai serta memupuk kesedaran tentang kepentingan keselamatan kenderaan melalui penyelenggaraan yang baik kerana langkah itu penting agar setiap keluarga dapat menikmati saat-saat berharga tanpa kebimbangan di jalan raya.

Mahmood berkata Karnival Jom Heboh menghimpunkan ribuan pengunjung setiap tahun dan menjadi platform terbaik untuk berinteraksi dengan pemilik kenderaan serta menunjukkan betapa mudah dan pentingnya pemeriksaan sukarela.

Pelanggan yang hadir untuk pemeriksaan kenderaan turut berpeluang memenangi sebuah skuter Modenas ELIT 150S, skuter elektrik, kamera digital kompak dan konsol permainan Nintendo Switch.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan