Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Projek Tebatan Banjir, Mekanisme Koordinasi Air Bersih Antara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

03/11/2025 09:09 AM

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Isu berkaitan projek tebatan banjir serta mekanisme koordinasi rentas agensi dalam memastikan kesinambungan bekalan air bersih antara perkara yang akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjelaskan langkah strategik dalam memastikan infrastruktur hijau dan penyelesaian alam semula jadi diterapkan dalam projek tebatan banjir agar lebih kos efektif, berdaya tahan dan memberi manfaat langsung kepada rakyat pada sesi soal jawab.

Dalam sesi sama, Riduan Rubin (Bebas-Tenom) bertanyakan kepada kementerian sama mengenai mekanisme koordinasi rentas agensi yang digerakkan dalam memastikan kesinambungan bekalan air bersih semasa krisis banjir dan bencana alam termasuk keupayaan jentera logistik pengagihan air yang berkesan kepada komuniti luar bandar dan kawasan pedalaman.

Sementara itu, Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengemukakan soalan kepada Menteri Digital mengenai rancangan untuk meneruskan inisiatif yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Rantaian Blok Nasional untuk 2021-2025, memandangkan pelan hala tuju itu akan berakhir pada hujung tahun ini.

Beliau turut ingin mengetahui rancangan untuk memperkenalkan rangka kerja kawal selia atau rangka undang-undang khusus berkaitan tokenisasi aset atau blok rantai.

Turut menarik perhatian ialah soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) kepada Menteri Pendidikan mengenai jumlah perbelanjaan kerajaan yang diperuntukkan kepada prasekolah berbanding tahap pendidikan lain.

Beliau turut bertanyakan jumlah peratus pemberian nilai itu kepada pembangunan bakat guru khususnya sukatan terkini berkaitan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) bagi menyesuaikan diri mendidik anak bangsa.

Selepas sesi soal jawab, Dewan Rakyat dijadual meneruskan persidangan dengan menyambung semula sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar oleh kementerian berkaitan. 

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis ini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan