JOHOR BAHRU, 2 Nov (Bernama) -- Sebanyak 244,242 akaun pengguna daripada 455,499 akaun yang terjejas berjaya dipulihkan susulan pencemaran Sungai Johor yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak terancang, setakat 10 pagi tadi.
Jurucakap Ranhill SAJ memaklumkan daerah Pontian pulih sepenuhnya, manakala sebanyak 79,587 akaun pengguna telah dipulihkan (65 peratus) di Kulai, diikuti Johor Bahru sebanyak 162,833 (54 peratus) dan Kota Tinggi pula 588 (dua peratus).
Sebanyak 211,257 akaun pengguna masih lagi terjejas, dengan daerah Johor Bahru mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 139,654 diikuti Kulai sebanyak 43,786 dan baki 27,817 di Kota Tinggi.
"Selain itu, usaha membekalkan bekalan air menerusi 40 lori tangki masih diteruskan dalam usaha memastikan pengguna terus menerima bekalan sepanjang krisis pencemaran air mentah yang berlaku sejak Jumaat lepas," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu, operator air Johor itu dalam hantaran di Facebook memaklumkan usaha diteruskan termasuk mengedarkan bekalan air minuman ke kawasan berkepadatan tinggi yang terjejas bagi meredakan keresahan pelanggan buat sementara waktu.
Pengguna disarankan untuk terus mendapatkan maklumat rasmi berkaitan gangguan bekalan air menerusi saluran rasmi aduan Ranhill SAJ melalui talian 1800887474, e-mel: customer.care@ranhillsaj.com.my atau sms: ATRanhillSAJAduan dan hantar ke 63001.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan berkata paras kekeruhan air mentah di Lembangan Sungai Johor mencatat peningkatan luar biasa hingga 37,400 Nephelometric Turbidity Unit (NTU) berbanding paras normal kira-kira 400 NTU.
Mohamad Fazli berkata kejadian itu berpunca daripada pergerakan tanah yang menyebabkan kolam cucian pasir keenam milik sebuah syarikat tempatan di sebuah kawasan perlombongan pasir darat di Kota Tinggi pecah, lalu mencemari aliran Sungai Johor, Jumaat lepas.
Susulan itu, pelepasan air dari Empangan Linggiu ditingkatkan bagi tujuan pencairan dan mengurangkan kesan pencemaran, selain penghantaran bekalan air alternatif melalui lori tangki ke kawasan terjejas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial