JOHOR BAHRU, 1 Nov (Bernama) -- Paras kekeruhan air mentah di Lembangan Sungai Johor mencatat peningkatan luar biasa hingga 37,400 Nephelometric Turbidity Unit (NTU) berbanding paras normal sekitar 400 NTU, susulan insiden kolam cucian pasir yang pecah di sebuah kawasan perlombongan pasir darat di Kota Tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata kejadian itu berpunca daripada pergerakan tanah yang menyebabkan kolam cucian pasir keenam milik sebuah syarikat tempatan pecah, lalu mencemari aliran Sungai Johor.
"Pemantauan oleh Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Ranhill SAJ mengesahkan paras kekeruhan yang tinggi itu berisiko menjejaskan operasi beberapa Loji Rawatan Air (LRA),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata antara operasi dijangka terjejas ialah LRA Linggiu, LRA Semangar, LRA Sungai Johor serta LRA PUB (Singapura), sekali gus menyebabkan beberapa kawasan mengalami gangguan sementara bekalan air tidak terancang, antaranya Senai, Skudai, Seelong, Felda Linggiu, Petri Jaya dan Lima Kedai.
“Bagi mengurangkan kesan pencemaran, pelepasan air dari Empangan Linggiu ditingkatkan bagi tujuan pencairan (dilution), selain penghantaran bekalan air alternatif melalui lori tangki ke kawasan terjejas,” katanya.
Mohamad Fazli berkata kerajaan negeri memandang serius insiden ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran sumber air negeri.
Semalam, JAS mengesahkan bund silt pond atau kolam takungan sedimen daripada aktiviti pengorekan pasir di hulu Sungai Johor, Kota Tinggi telah pecah dan operasi berkenaan dihentikan serta-merta.
Penduduk dan nelayan di Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi juga antara yang mengadu terjejas akibat pencemaran itu apabila ratusan ikan ditemukan mati akibat sungai berlumpur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial