NARATHIWAT, 1 Nov (Bernama) -- Krisis pelarian Rohingya melibatkan pelarian dari Myanmar ke Malaysia melalui Thailand kini menjadi cabaran besar kepada usaha kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Timbalan Gabenor Wilayah Narathiwat Wichan Chaisetsumpan berkata banyak pelarian Rohingya memilih Malaysia sebagai destinasi utama kerana melihat negara itu sebagai destinasi selamat masyarakat Islam dan mempunyai peluang pekerjaan lebih baik.
“Bagaimanapun, peningkatan kemasukan kumpulan itu tanpa dokumen sah menimbulkan risiko keselamatan dan kebimbangan terhadap aktiviti pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan.
“Selain pelarian, laluan haram di sepanjang Sungai Golok juga digunakan oleh pendatang tanpa izin dan penyeludupan dadah serta barangan lain untuk mengelak prosedur keselamatan Kastam,” katanya kepada media Malaysia dengan menggunakan jurubahasa dalam temu bual baru-baru ini.
Sehubungan itu, Wichan berkata kerajaan Malaysia telah memperketat kawalan sempadan termasuk memasang papan tanda amaran dan mengenakan hukuman tegas terhadap pihak yang melanggar peraturan.
“Saya juga maklum bahawa Malaysia baru-baru ini meluluskan peruntukan untuk membina tembok keselamatan di Sungai Golok untuk menangani masalah ini,” katanya.
Beliau berkata langkah itu merupakan perkembangan positif dalam memperkukuh usaha keselamatan dua negara.
“Di pihak Thailand, pihak pentadbiran wilayah Narathiwat melaksanakan kempen kesedaran kepada penduduk tempatan tentang implikasi undang-undang berhubung menggunakan laluan haram dan menggalakkan mereka untuk menggunakan kaedah yang betul.
“Selain itu, kerajaan Thailand telah memperkenalkan pendaftaran pemilikan bot nelayan sepanjang Sungai Golok bagi membendung penyalahgunaan bot untuk membawa masuk pendatang tanpa izin ke Malaysia,” katanya.
Wichan memaklumkan langkah itu mencerminkan komitmen dua negara untuk menangani isu kemanusiaan dan keselamatan.
Pada 21 Okt, Bernama melaporkan kerajaan Malaysia meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion bagi pembinaan tembok keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata perkara itu dimaklumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Beliau berkata tembok keselamatan itu akan dibina di sepanjang sempadan dari Tumpat hingga ke Tanah Merah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial