Oleh Mohd Afiq Zulkifli
KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Kejayaan Perjanjian Damai KL antara Thailand dan Kemboja bukan sekadar simbol perdamaian dua negara, tetapi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pengantara yang dipercayai pada peringkat serantau dan antarabangsa.
Penganalisis politik Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata perjanjian itu membuktikan ASEAN mampu menjadi penyelesai konflik sebenar, bukan sekadar pemerhati, dengan Malaysia memainkan peranan penting sebagai “tuan rumah keamanan”.
“Malaysia muncul dengan diplomasi berwibawa yang menegaskan penyelesaian konflik di Asia Tenggara boleh dicapai secara serantau tanpa perlu bergantung kepada kuasa luar. Ini langkah besar, walaupun masih awal untuk kestabilan jangka panjang,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Perjanjian yang dimeterai di Kuala Lumpur pada 26 Okt itu disaksikan oleh pemimpin ASEAN serta wakil Amerika Syarikat, melibatkan komitmen kedua-dua negara untuk menghentikan semua bentuk serangan di kawasan sempadan, menarik balik senjata berat, dan menubuhkan pasukan pemerhati di bawah kendalian ASEAN bagi memastikan pematuhan terhadap gencatan senjata.
Ia turut menandakan kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah dan fasilitator utama dalam rundingan berkenaan, sejajar dengan Kepengerusian ASEAN 2025 di samping memperkukuh peranan blok itu sebagai platform diplomasi serantau yang efektif dan berautonomi.
Sivamurugan berkata kredibiliti Malaysia sebagai negara neutral, kepimpinan inklusif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pengalaman diplomasi pelbagai pihak membolehkan negara menembusi kepercayaan pihak bertelagah.
Kejayaan itu turut mengangkat imej ASEAN sebagai badan serantau yang matang dan berupaya menyelesaikan masalah sendiri.
“Reputasi Malaysia kini meningkat sebagai pemain utama keamanan serantau, manakala bagi ASEAN pula, ia memberi mesej jelas bahawa keamanan dan kestabilan rantau boleh dicapai melalui mekanisme serantau yang tersusun,” katanya.
Sementara itu, geostrategis Prof Dr Azmi Hassan dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara berkata istilah KL Peace Accord (Perjanjian Damai KL) itu sendiri dicetuskan oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, yang memuji peranan Malaysia sebagai perantara neutral dalam rundingan gencatan senjata berkenaan.
“Trump amat gembira dengan Malaysia kerana berjaya menjadi pemangkin kepada perjanjian gencatan senjata Thailand–Kemboja. Beliau menyifatkan Malaysia sebagai perantara yang adil dan boleh dipercayai, bukan sahaja dalam ASEAN tetapi juga di luar ASEAN,” katanya.
Azmi menjelaskan bahawa keyakinan Washington terhadap Malaysia memberi kelebihan diplomatik, termasuk dalam hubungan masa depan dengan AS dalam isu global lain seperti Gaza, kerana Malaysia kini dilihat sebagai pihak yang berprinsip atas dasar kemanusiaan, bukan semata-mata keagamaan.
“Bila Trump dan AS melihat Malaysia sebagai pengantara yang jujur dan terbuka, ia membuka ruang untuk Malaysia menjadi tapak rundingan bagi pelbagai konflik antarabangsa. Ini kejayaan diplomasi tersendiri yang menonjolkan kebijaksanaan Perdana Menteri dan keupayaan Malaysia membina kepercayaan global,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial