Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ADMM Catat Sejarah Lulus Inisiatif Tertinggi, Perkukuh Komitmen Keamanan ASEAN

31/10/2025 02:51 PM

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) melakar pencapaian bersejarah apabila meluluskan jumlah insiaitif tertinggi pernah direkodkan dalam tempoh setahun, yang disifatkan sebagai bukti kukuh komitmen blok itu terhadap usaha mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapan penutupnya berkata penerimaan dokumen utama termasuk Deklarasi Bersama Kuala Lumpur mengenai Perpaduan ASEAN untuk Keselamatan dan Kemakmuran penting sebagai panduan dalam membentuk landskap keselamatan rantau ini pada masa hadapan.

"Dokumen ini merupakan bukti kukuh komitmen bersama kita ke arah ASEAN yang aman, stabil dan berpandangan jauh. Ia membuktikan bahawa ADMM bukan sekadar forum bersifat formal, sebaliknya sebuah komuniti yang dinamik dengan matlamat dan kemajuan bersama.

Ad Banner

“Menerusi perbincangan, satu mesej jelas telah diketengahkan iaitu kekuatan ASEAN tidak terletak pada kuasa atau penguasaan, tetapi pada semangat kerjasama dan dialog,” katanya pada penutup ADMM ke-19 di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata semangat kerjasama yang menggalakkan perpaduan berbanding persaingan merupakan tunjang kestabilan rantau ASEAN serta jaminan kepada masa depan sambil menyeru agar negara anggota terus berpegang pada prinsip “ÁSEAN Didahulukan".

"Keamanan tidak berlaku secara automatik. Ia perlu dibina, dipelihara dan diperbaharui secara berterusan, bersama sebagai satu keluarga ASEAN,” katanya.

ADMM ke-19 dan ADMM-Plus ke-12 berlangsung hari ini hingga 2 Nov dengan penyertaan lapan negara rakan dialog iaitu Amerika Syarikat, Rusia, Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

-- BERNAMA =


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan