JOHOR BAHRU, 30 Okt (Bernama) -- Sebanyak 103 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Perigi Acheh hari ini menerima bangunan sementara, selepas hampir lima tahun dipindahkan ke SK Tanjung Langsat di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata bangunan itu dibina bermula Januari lepas dan siap sepenuhnya bulan ini dengan peruntukan RM2.3 juta.
Beliau berkata mereka dipindahkan ke SK Tanjung Langsat setelah sekolah asal mereka yang terletak bersebelahan bangunan sementara itu, dinilai tidak lagi selamat digunakan pada 2021 oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Proses pembinaan mengambil masa 10 bulan, walaupun bangunan sementara, ia (fasilitinya) boleh digunakan dengan sempurna,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penyerahan Projek Awalan SK Perigi Acheh di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin.
Sementara itu, Aznan berkata bangunan sementara itu akan turut menempatkan murid prasekolah selain digunakan untuk pembelajaran sekolah agama.
Beliau menjelaskan peruntukan bagi pembinaan sekolah baharu juga dimohon kepada Kementerian Pendidikan (KPM).
“Permohonan telah diajukan dan kami sedang menunggu peruntukan KPM. Justeru, sementara menunggu peruntukan lulus, bangunan sementara dibuat,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Fazli berkata projek pembinaan jambatan dan jalan raya di Kampung Perigi Acheh akan bermula bulan depan dengan jangkaan siap dalam masa 18 bulan.
Beliau berkata projek pembinaan dengan anggaran kos permulaan RM14 juta itu telah dimulakan sejak 2019 dan sepatutnya siap pada 2020, namun ia mengalami masalah termasuk berlaku runtuhan dan isu kontraktor.
“Justeru, kerajaan negeri buat keputusan untuk menggantikan kontraktor dan reka bentuk (susulan runtuhan), maka kos terbaru akan mengalami sedikit tambahan (daripada kos asal),” katanya.
Beliau turut berharap jangka masa pembinaan dapat dipercepatkan menerusi kontraktor penyelamat, sekali gus menjelaskan kejayaan projek itu akan mempermudahkan lagi proses pembinaan sekolah baharu di kampung berkenaan.
-- BERNAMA
 
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter      : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok       : @bernamaofficial