Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Harta Datuk Seri Vida Berjaya Dilelong Dengan Nilai RM1 Juta

30/10/2025 08:03 PM

IPOH, 30 Okt (Bernama) -- Harta dan barangan termasuk beberapa kenderaan milik usahawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida berjaya dilelong pada harga RM1 juta hari ini.

Antara harta yang dilelong adalah sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Vellfire serta dua kenderaan utiliti sukan Toyota Grand Hiace dan BMW X7.

Selain itu, 727 barangan dalam rumah seperti meja makan, set sofa, penyaman udara, televisyen, gitar elektrik, piano, set karaoke, hiasan dinding serta pasu turut dilelong.

Ad Banner

Proses lelongan itu berlangsung selama kira-kira tiga jam bermula 10.30 pagi oleh dua orang pembida di rumah Vida di Meru Heights di sini.

Bagaimanapun, hanya seorang pembida iaitu ahli perniagaan Norzamri Abdullah berjaya memperoleh keseluruhan barangan yang disenaraikan selepas seorang lagi pembida menarik diri disebabkan harga jumlah bidaan yang ditawarkan tidak menepati harga bidaan yang ditetapkan oleh pihak mahkamah.

Pelelong berlesen S Punithawathi memaklumkan semua barangan sitaan itu berjaya dijual kepada pembida berkenaan dengan bidaan akhir bernilai RM1 juta.

Sementara itu, peguam kepada pihak penuntut Samir Zainal memaklumkan pembida yang berjaya perlu melengkapkan proses pembayaran kepada pihak mahkamah pada hari sama.

Samir bagaimanapun berkata masih terdapat baki tuntutan sebanyak RM100,000 dan baki bayaran itu akan ditentukan kemudian berdasarkan arahan dan perbincangan bersama anak guamnya.

“Saya difahamkan tuntutan bagi baki itu tetap akan diteruskan tetapi jumlahnya tidak besar seperti sebelum ini. Mungkin akan ada proses susulan, sama ada melalui rundingan atau tindakan lain, namun ia bergantung kepada keputusan seterusnya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan barangan rumah dan empat kenderaan mewah milik Vida di Ipoh, disita selepas gagal melunaskan tunggakan bayaran ubah suai bangunan kilangnya.

Media melaporkan Vida gagal menjelaskan kepada syarikat kontraktor pembinaan bayaran baki tunggakan kerja ubah suai kilangnya di Shah Alam, Selangor, yang dijadikan sebuah studio pada 2018 bernilai RM1,060,285.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan