KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dinamakan sebagai tokoh Muslim paling berpengaruh ke-10 dalam edisi 2026 buku The World’s 500 Most Influential Muslims, yang diterbitkan oleh Pusat Kajian Strategik Diraja Islam (RISSC), Jordan.
Kenaikan Anwar ke tangga ke-10 daripada kedudukan ke-15 tahun lepas (2025) dalam kategori sama mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kepimpinannya serta kedudukan Malaysia di peringkat global.
Dalam penerbitan buku tersebut, Anwar disenaraikan antara 50 tokoh Muslim paling berpengaruh di dunia, bersama-sama tokoh lain seperti Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani yang menduduki tempat pertama, Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul-Aziz Al-Saud (kelapan) dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto (15).
RISSC turut mencatatkan bahawa Anwar berada di tangga ketujuh dalam kategori pemimpin Islam dan ahli politik paling berpengaruh di dunia, naik daripada tempat kesembilan tahun lepas, mengatasi Prabowo (10) dan Presiden Mesir Abdel Fattah Saeed Al-Sisi (13).
Penilaian ini dibuat berdasarkan pengaruh tokoh Muslim, yang didefinisikan sebagai kemampuan untuk membawa perubahan ketara dalam dunia Islam atau dalam kalangan umat Islam sama ada dari aspek budaya, ideologi, kewangan, politik atau bidang lain, dengan impak dilihat sebagai positif atau negatif bergantung perspektif.
Dalam pengenalan ringkas mengenai Anwar, penerbitan itu menyatakan bahawa Perdana Menteri memainkan peranan penting dalam meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja susulan beberapa hari pertempuran sempadan serta lantang bersuara mengenai perjuangan rakyat Palestin menghadapi kekejaman Israel.
“Anwar membantu membina kepercayaan antara Bangkok dan Phnom Penh, mengukuhkan imej Malaysia sebagai pengantara keamanan yang konstruktif di Asia Tenggara. Sementara itu, beliau juga penyokong tegas hak Palestin untuk menentang pendudukan.
“Perjumpaannya dengan pegawai Hamas (termasuk pemimpin Hamas yang dibunuh, Ismail Haniyeh) mendapat kritikan daripada Amerika Syarikat.
“Catatan beliau di media sosial yang menzahirkan ucapan takziah selepas pembunuhan Ismail Haniyeh telah dipadam, mendorong beliau menyatakan: ‘Biarlah ini menjadi mesej jelas dan tegas kepada Meta: hentikan sikap pengecut ini dan berhenti bertindak sebagai alat rejim Zionis Israel yang menindas,’” menurut penerbitan berkenaan.
Berikut antara 50 tokoh Muslim paling berpengaruh di dunia:
1. Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani
2. Mufti dan Sarjana Terunggul Pakistan, Hakim Sheikh Muhammad Taqi Usmani
3. Sarjana dan Pengasas Dar Al-Mustafa, Tarim, Yemen, Sheikh Al-Habib Umar bin Hafiz
4. Pemimpin Tertinggi Republik Islam Iran, Ayatollah Hajj Sayyid Ali Khamenei
5. Raja Jordan, Raja Abdullah II Ibn Al-Hussein
6. Iman Besar Masjid Al-Azhar Al-Sharif, Prof Dr Ahmad Muhammad Al-Tayyeb
7. Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan
8. Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul-Aziz Al-Saud
9. Presiden Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan
10. Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim
11. Ulama terkemuka Iraq Ayatollah Sayyid Ali Hussein Al-Sistani
12. Raja Mahgribi Raja Mohammed VI
13. Sarjana dan Pendidik Arab Saudi Sheikh Salman Al-Ouda
14. Putera Mahkota Arab Saudi Mohammad bin Salman bin AbdulAziz Al-Saud
15. Presiden Indonesia Prabowo Subianto
16. Pemimpin dan Presiden Jamiat Ulama-i-Hind, Maulana Mahmood Asad Madani
17. Sultan Sokoto, Nigeria Sheikh As-Sultan Muhammadu Sa’adu Abubakar III
18. Presiden Forum Memperkasa Keamanan dalam Masyarakat Muslim Sheikh Abdullah bin Bayyah
19. Pengerusi Nahdlatul Ulama, Indonesia Yahya Cholil Staquf
20. Pengarah Organisasi Perisikan Nasional Turkiye Dr Ibrahim Kalin Kalin
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial