Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

JTM Akan Pastikan Kebolehpasaran Dan Kebolehkerjaan Graduan ADTEC Terus Tinggi

29/10/2025 08:09 PM

BATU PAHAT, 29 Okt (Bernama) -- Jabatan Tenaga Manusia (JTM) akan memastikan graduan yang dilahirkan menerusi Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di seluruh negara dapat memenuhi keperluan sektor pekerjaan dalam pelbagai bidang.

Ketua Pengarah JTM Datuk Rospiagos Taha berkata sehingga kini lepasan pusat latihan berkenaan mempunyai kebolehpasaran dan kebolehkerjaan yang tinggi serta diminati oleh pemain industri di negara ini, khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau berkata setakat ini kebolehpasaran graduan ADTEC yang mendapat pekerjaan adalah 95 peratus, manakala kebolehkerjaan iaitu graduan yang bekerja mengikut bidang yang dipelajari sekitar 80 peratus.

Ad Banner

“Kami di JTM akan terus memastikan peratusan berkenaan kekal tinggi, sekali gus menjadikan 33 ADTEC di seluruh negara dan dua kampus satelit sebagai pilihan utama pelajar untuk melanjutkan pengajian masing-masing.

“Antara usaha yang kami lakukan ialah melaksanakan kolaborasi dengan pihak industri bagi memastikan kursus yang ditawarkan sentiasa relevan, sejajar dengan arus teknologi dan memenuhi keperluan pasaran kerja,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perasmian Karnival Kerjaya dan Pendidikan TVET MyFutureJobs X ADTEC JTM Kampus Batu Pahat, yang turut dihadiri oleh Pengarah ADTEC JTM Kampus Batu Pahat Dr Muhammad Yusof dan Pengurus Besar Unit Strategik Modal Insan Johor, Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) Herman Raban.

Rospiagos turut memaklumkan pihaknya melaksanakan beberapa pertukaran memorandum kerjasama (MoC) yang dijangka memberi manfaat besar daripada aspek pembangunan sumber manusia, perkongsian teknologi, latihan industri pelajar (LI) dan latihan sangkut pengajar (LSI) seterusnya menjadi pemangkin kepada peningkatan kemahiran nasional.

Beliau berkata di negeri Johor, selain menerima kerjasama baik daripada pelbagai pihak, sokongan serta komitmen kerajaan negeri juga amat tinggi dalam pembangunan modal insan.

“Sebagai contoh, hari ini kami menerima bantuan daripada kerajaan Johor berbentuk geran peralatan bernilai RM248,200 bagi melahirkan graduan dan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Pada masa sama, kami turut menerima bantuan khas daripada Yayasan Makmur Batu Pahat bagi membantu pelajar daripada golongan B40 agar mereka dapat meneruskan pengajian,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan