Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sailion Shipping, Labuan Kendali Discovery Princess Ketika Transit Di Pelabuhan Klang

29/10/2025 08:06 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 29 Okt (Bernama) -- Sailion Shipping Sdn Bhd (Sailion Shipping) yang berpangkalan di Labuan, berjaya mengendalikan persinggahan kapal persiaran Discovery Princess ketika ia transit di Pelabuhan Klang hari ini.

Ia merupakan sebahagian daripada penglibatan syarikat yang semakin meningkat dengan pengendali persiaran antarabangsa dan pihak berkuasa pelabuhan.

Ad Banner

Discovery Princess, yang dikendalikan oleh Princess Cruises, merupakan salah satu daripada kapal kelas Royal yang terbaharu, dengan kapasiti kira-kira 5,000 penumpang dan anak kapal.

Lawatan operasi dan pengenalan itu diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sailion Shipping Datuk Seri Patrick Tiong, sambil diiringi oleh Pengarah Operasi Mohd Riyaz Mohamed Ibrahim dan beberapa eksekutif kanan serta kakitangan. 

“Delegasi berpeluang melihat kemudahan yang disediakan di atas kapal dan operasi pelabuhan, termasuk prosedur ketika persinggahan, sistem pengendalian penumpang dan perkhidmatan logistik kapal.

“Semasa lawatan itu, perbincangan turut tertumpu kepada potensi Pelabuhan Labuan sebagai destinasi transit dan laluan kapal persiaran pada masa hadapan, memandangkan lokasi himpitannya di laut dalam dan strategik di sepanjang laluan perkapalan serantau,” kata Tiong ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata kejayaan Sailion Shipping mengendalikan kapal persiaran utama mencerminkan komitmennya untuk mempromosikan potensi maritim dan pelancongan Malaysia, khususnya di Labuan.  

“Labuan mempunyai infrastruktur dan keupayaan maritim untuk menyokong pertumbuhan pelancongan kapal persiaran.

“Dengan kerjasama yang baik antara pihak berkuasa pelabuhan dan pemain industri, ia boleh muncul sebagai pelabuhan persinggahan yang penting di rantau ini,” katanya. 

Tiong juga berkata penglibatan dengan Discovery Princess adalah sejajar dengan usaha kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama dalam laluan pelayaran Asia Pasifik. 

Katanya, pegawai daripada Sailion Shipping dan Discovery Princess turut bertukar pandangan mengenai pengurusan pelabuhan yang mampan dan peluang kerjasama bagi meningkatkan infrastruktur pelancongan kapal persiaran di Malaysia. 

Beliau berkata sebagai penyedia penyelesaian maritim, Sailion Shipping mengendalikan perkhidmatan pelayaran antarabangsa di pelabuhan utama di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan