KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa diamanahkan untuk mengetuai pasukan petugas khas bagi menjamin kepentingan komuniti Melayu di Kampung Baru dan Kampung Sungai Baru.
Dr Zaliha berkata pasukan petugas khas itu, akan menyelaras rundingan antara pemaju, agensi kerajaan dan wakil komuniti tempatan.
Beliau mendapati masih ramai Ahli Parlimen khususnya bagi pihak pembangkang, tidak dapat membezakan di antara Kampung Baru dan Kampung Sungai Baru walaupun sudah beberapa kali dijelaskan.
“Walaupun Kampung Sungai Baru sebahagian daripada Kampung Baru, tetapi statusnya berbeza. Kampung Sungai Baru bukan tanah MAS (Malay Agricultural Settlement) dan tidak pernah juga diwartakan sebagai rizab Melayu,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), di Dewan Rakyat hari ini.
Dr Zaliha berkata kerajaan mengambil pendekatan baharu untuk meningkatkan kadar pemilikan bumiputera di Kampung Sungai Baru melalui empat intervensi utama iaitu pertama, penglibatan aktif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti UDA Holdings Berhad dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dalam pembangunan semula kawasan Melayu strategik.
Kedua, penetapan rumah ganti hanya untuk orang Melayu bagi memastikan kesinambungan sosiobudaya di kawasan bersejarah seperti Kampung Baru dan Sungai Baru. Ketiga, diversifikasi komponen pembangunan termasuk unit kondominium, SOHO (pejabat rumah kecil), rumah kedai dan pejabat mampu milik Melayu bagi menambah kapasiti pemilikan warga bandar Melayu.
Intervensi keempat ialah pemantauan pematuhan kuota bumiputera atau Melayu di kawasan itu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di bawah mekanisme laporan suku tahunan.
Sementara itu, mengulas mengenai cadangan pelantikan Ahli Majlis di Kuala Lumpur, Dr Zaliha berkata perkara itu akan diteliti melalui penubuhan pasukan petugas untuk mengkaji keperluan pindaan undang-undang, namun pilihan raya kerajaan tempatan tidak menjadi keutamaan kerajaan buat masa ini.
Beliau berkata Majlis Menteri Wilayah dan mesyuarat konsultasi Datuk Bandar Kuala Lumpur bersama Ahli Parlimen wilayah, akan diadakan setiap tiga bulan sebagai platform rasmi membincang dasar dan isu warga kota.
Dr Zaliha berkata kerajaan juga memperkukuh Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) dengan kenaikan elaun serta peningkatan geran zon kepada RM60,000 dan RM25,000 untuk subzon bagi memperluas program setempat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial