KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Sebuah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) KEMAS khas untuk kanak-kanak autistik akan dibina di setiap negeri mulai tahun hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Pembangunaan Desa dan Wilayah berkata langkah menubuhkan tabika khusus itu adalah bagi memastikan akses pendidikan awal yang inklusif dan mampu milik disediakan untuk anak-anak autistik di seluruh negara.
Beliau berkata langkah itu mengambil kira ekosistem pendidikan KEMAS yang mempunyai keupayaan bagi menawarkan pendidikan khas itu.
“Kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak autisme terpaksa menghantar mereka ke tabika luar KEMAS yang mengenakan bayaran tinggi, sekali gus menimbulkan bebanan kewangan kepada keluarga.
“Tahun hadapan, setiap negeri akan dibina Tabika KEMAS khas untuk kanak-kanak autistik, dan insya-Allah, sekiranya peruntukan mencukupi, menjelang 2027 setiap daerah akan mempunyai sekurang-kurangnya sebuah Tabika KEMAS Autisme,” katanya
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab celahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai persediaan kementerian terhadap inisiatif itu, Ahmad Zahid berkata pelarasan sudah dibuat dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) supaya tidak timbul pertindihan fungsi.
Bagi aspek kurikulum pula, beliau berkata pelarasan turut dilaksanakan dengan Institusi Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memastikan kurikulum pendidikan khas itu dapat dilaksana secara menyeluruh.
Sementara itu, mengulas tentang isu tatakelola melibatkan beberapa agensi termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) di bawah kementerian itu, Ahmad Zahid menjelaskan hasil penelitian laporan daripada Ketua Audit Negara serta sesi penerangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dan Kementerian Kewangan mendapati tiada penyelewangan dikesan.
“Bagi persoalan pelantikan penasihat program Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dalam kalangan aktivis politik, saya ingin menjelaskan bahawa mereka tidak menerima sebarang elaun, mereka diminta untuk membantu bagi memperkukuh libat urus bersama peserta dan masyarakat setempat,” katanya.
Sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata sistem amaran awal digunakan khusus di kawasan titik merah berlaku banjir bagi membolehkan amaran berpindah dikeluarkan antara dua hingga tiga hari lebih awal.
Selain itu, agensi terlibat seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga melihat kepada kaedah alternatif bagi keselamatan cerun dengan menanam peranti amaran awal di kawasan cerun untuk mengesan gegaran atau pergerakan tanah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial